
Setiausaha Hal Ehwal Luarnya Maria-Theresa Lazaro berkata pentadbiran itu komited menjadi pengerusi adil dan mewakili suara Asean secara kolektif.
“Sebagai pengerusi Asean, Filipina tidak akan mengetengahkan isu dua hala kami. Semua perkara membabitkan hubungan dua hala akan kekal di luar meja rundingan Asean.
“Itu tidak akan menjejaskan kepengerusian Filipina kerana kami membawa mandat Asean, bukan kepentingan negara sendiri,” katanya dalam temu bual bersama FMT.
Lazaro turut menegaskan komitmen Manila terhadap diplomasi dan dialog, termasuk usaha mempercepatkan rundingan Kod Tatakelakuan (CoC) Laut China Selatan, iaitu mekanisme penting untuk menangani pertikaian di rantau itu secara aman.
Beliau berkata Filipina mahu membina kemajuan sedia ada dengan China bagi memastikan rundingan CoC dapat diselesaikan dalam tempoh tiga tahun.
Mengenai krisis di Myanmar, Lazaro menjelaskan Filipina tidak bercadang mengubah pendekatan sedang dijalankan di bawah kepengerusian Malaysia ketika ini.
“Kami tidak mahu mulakan semula proses itu. Apa yang penting ialah meneruskan usaha telah dicapai,” katanya.
Myanmar terus berdepan kekacauan sejak rampasan kuasa tentera pada 2021, yang mendorong Asean memperkenalkan Konsensus Lima Perkara.
Gesaan itu supaya keganasan dihentikan, bantuan kemanusiaan disalurkan, dialog, seorang utusan khas dilantik dan akses tanpa halangan baginya untuk berhubung dengan semua pihak terbabit.
Namun begitu, perpecahan dalaman masih wujud dalam Asean berhubung pendekatan terbaik untuk berurusan dengan Myanmar di tengah-tengah krisis kemanusiaan yang semakin meruncing.
Sabtu lalu, Menteri Luar Mohamad Hasan berkata semasa Mesyuarat Menteri Luar Asean berlangsung Julai lalu, negara anggota bersetuju sebarang pilihan raya di Myanmar mesti adil, telus, inklusif dan boleh dipercayai, sambil menekankan kepentingan dialog inklusif sebelum pilihan raya berlangsung.
Menjawab dakwaan bahawa Asean telah lambat bertindak terhadap Myanmar, Lazaro mengakui wujud beberapa ketidaksepakat, tetapi menegaskan ia tidak boleh dilihat sebagai kegagalan sebaliknya ‘cerminan prinsip yang dihormati’.
“Kesepakatan mungkin tidak sentiasa dicapai, tetapi itulah tujuan Asean — untuk menegakkan prinsip tidak campur tangan dan hormati-menghormati,” katanya.