
ADMM bukan sekadar platform rasmi pertemuan menteri-menteri pertahanan, tetapi simbol perpaduan dan tanggungjawab bersama negara-negara anggota dalam membina kerangka keselamatan serantau yang mampan.
“Mesyuarat ini bukti kesediaan Asean untuk memikul keamanan daripada dalam, tanpa bergantung sepenuhnya kepada kuasa luar,” katanya kepada pemberita selepas tinjauan.
Tema ‘Kesepaduan Asean Demi Keselamatan dan Kemakmuran’ mencerminkan komitmen Malaysia dan Asean terhadap keseimbangan antara kestabilan serantau serta nilai-nilai kemanusiaan seperti kesatuan, kesetaraan, kesentralan dan keneutralan, katanya.

Antara sorotan tahun ini termasuk penyertaan Timor-Leste buat pertama kali dalam ADMM & ADMM-Plus, selepas diterima sebagai anggota Asean ke-11.
Selain itu, mesyuarat kali ini mencatatkan sejarah baharu dengan penerimaan sebanyak 20 inisiatif baharu, jumlah tertinggi yang pernah direkodkan sepanjang penganjuran forum itu, yang dirumuskan dalam tiga bidang utama.
“Kita akan memperkukuh kerjasama pertahanan, meningkatkan kesiapsiagaan operasi termasuk melalui Pasukan Pemerhati Asean, serta memperhebat keupayaan menghadapi ancaman baharu seperti keselamatan maritim, siber dan infrastruktur bawah laut kritikal.
“Misi penting tahun ini juga menilai semula tatacara operasi standard bagi bantuan kemanusiaan dan bencana Asean,” ujarnya.
Tambahnya, ia bertujuan mempertingkat koordinasi antara negara anggota ketika menghadapi bencana alam, khususnya selepas beberapa negara seperti Filipina dan Vietnam berdepan bencana besar pada tahun ini.
Satu lagi pencapaian penting yang akan diumumkan dalam mesyuarat kali ini ialah kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI) bagi pertahanan — kenyataan pertama seumpamanya dikeluarkan oleh sebuah organisasi serantau.
Ia menunjukkan komitmen Asean untuk mendepani kemajuan teknologi AI secara bertanggungjawab, dengan menyeimbangkan inovasi dan akauntabiliti dalam konteks keselamatan.
Khaled menegaskan kesedaran dan kefahaman tentang prinsip-prinsip ini perlu terus dipupuk agar setiap negara anggota kekal komited terhadap semangat Asean.
Menteri diiringi Panglima Angkatan Tentera Nizam Jaffar, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Lokman Hakim Ali, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan Yani Daud, dan Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia Azhan Md Othman.