
“Bagaimana saya nak sehaluan dengan kerajaan sedangkan manifesto dimungkiri,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Jailani, dia tidak sanggup ‘berbohong’ kepada rakyat yang mengundi BN berpandukan janji-janji dalam manifesto itu.
Jailani tidak perincikan janji-janji bagi PRN Melaka 2021 yang dikatakan itu.
Beliau merupakan exco bagi portfolio pelancongan, warisan, dan kebudayaan ketika pentadbiran Ketua Menteri Sulaiman Md Ali (Mac 2020 – Mac 2023).
PAS pada Selasa mengumumkan Jailani diterima sebagai ahli parti itu pada Jun 2023.
Bagaimanapun, setakat 9 Sept tahun lalu media melaporkan Jailani sebagai ahli Umno, apabila lembaga disiplin parti mengesyorkan beliau digantung keahlian.
Antara yang lantang membidas Jailani adalah Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, yang mendakwa beliau cuba ambil ‘credit’ kejayaan Umno kembali mentadbir Melaka.
Sebelum ini, Jailani berkata jika bukan kerana dirinya menarik sokongan daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Adly Zahari pada 2020, Umno tidak akan kembali mentadbir di negeri itu.
Jailani hari ini berkata “orang Melayu memberi undi kepada kami atas dasar tiada kerjasama dengan PH mahupun Perikatan Nasional ketika itu.”
“Saya dan rakan-rakan dijanjikan juga apa pun berlaku Umno-BN akan berdiri sendiri. Jadi pembangkang yang bermaruah. Tidak Anwar, tidak DAP.”
Jailani menyertai Umno pada Jun 2021 selepas meninggalkan PKR, dan mempertahankan kerusi DUN Rembia atas tiket BN pada PRN tahun sama.
Berkait penggantungan keahlian Jailani, media melaporkan beliau didakwa melakukan sabotaj terhadap parti kerana dengan sengaja hadir pada majlis pengumuman calon PN bagi PRK DUN Simpang Jeram, Johor, pada 23 Ogos tahun lalu.
“Apa kesilapan yang perlu saya perbaiki semasa digantung? Kesilapan itu saya kah yang lakukan? Atau kesilapan ini Zahid (Presiden Zahid Hamidi) dan Umno yang lakukan?” kata Jailani.