Penalti RM50 juta jika Adun BN Sabah lompat parti, kata Zahid

Penalti RM50 juta jika Adun BN Sabah lompat parti, kata Zahid

Pengerusi BN itu berkata beliau terima aku janji bahawa mana-mana Adun BN lompat parti dikenakan penalti atau tindakan mahkamah.

Pengerusi BN Zahid Hamidi bertemu orang ramai dalam satu program di Sabah hari ini. (Gambar Facebook)
KINABATANGAN:
Adun daripada Barisan Nasional (BN) yang melompat parti akan dikenakan penalti RM50 juta atau berdepan tindakan mahkamah, kata pengerusinya Zahid Hamidi.

Zahid berkata beliau telah menerima aku janji bahawa mana-mana Adun daripada BN yang melompat pada PRN Sabah ke-17 akan dikenakan penalti sedemikian.

Beliau berkata walaupun mustahil untuk Adun yang dipilih pada PRN kali ini melompat disebabkan Akta Lompat Parti, sekiranya berlaku, penalti atau denda serta tindakan mahkamah menanti mereka.

“Hal ini supaya perkara yang berlaku dalam PRN yang lepas, tidak akan berlaku lagi. Kita harus belajar daripada kesilapan dan kelemahan dahulu,” katanya semasa berucap pada program Jelajah TVET di Dataran Kinabatangan.

Timbalan perdana menteri turut mengingatkan agar semua 45 calon BN yang bertanding pada PRN Sabah ke-17 agar bekerja keras kerana ia satu-satunya peluang untuk BN dan Umno kembali menjadi dominan di Sabah.

Beliau berkata rakyat Sabah mahu menyaksikan BN dan Umno kembali memerintah negeri itu selepas 29 Nov ini dan bertekad membawa kemajuan menyeluruh ke Kinabatangan.

“Saya diberi tanggungjawab oleh perdana menteri (Anwar Ibrahim) sebagai menteri kemajuan desa dan wilayah, ertinya saya menteri kampung, menteri luar bandar, kawasan Kinabatangan kawasan kampung, jadi saya akan membantu memajukan Kinabatangan.

“Bukan sekadar (selesaikan) tiga serangkai iaitu jalan, elektrik dan bekalan air, lebih daripada itu pun kita akan bawa ke Lamag dan Sukau,” katanya.

Pada 25 Mei 2023, DUN Sabah meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri bagi mewujudkan larangan Adun bertukar atau melompat parti.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian manakala 25 Nov bagi pengundian awal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.