
Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan dakwaan tersebut sebagai percubaan terdesak daripada pihak tertentu untuk menabur fitnah.
“Suhu pilihan raya semakin panas. Nampak gayanya ada pihak yang semakin terdesak dengan membuat fitnah sebegini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
“Kepada semua ahli PAS dan penyokong Perikatan Nasional (PN), diminta bertenang dan jangan cepat melatah. Tapis dahulu setiap berita yang diterima.”
Terdahulu, tular di media sosial tangkap layar laporan sebuah portal berita bertajuk ‘PAS tak bercadang terima Wan Fayhsal jadi ahli buat masa ini’, susulan kenyataan Ahli Parlimen Machang itu bahawa beliau terbuka menyertai PAS sebagai alternatif.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu, yang digantung keahlian parti selama satu penggal, menyatakan perkara itu ketika menjawab pertanyaan sama ada beliau bersedia menyertai PAS jika kemelut kepimpinan dalam Bersatu itu sukar diselesaikan.
Susulan itu, Ketua Penerangan Pemuda PAS Khairul Nadzir Helmi Azhar dilaporkan berkata, penyertaan mana-mana individu dalam parti itu sentiasa dialu-alukan sebagai tanda kepercayaan terhadap perjuangan parti yang telah lama bertapak dalam politik tanah air.
Bagaimanapun, katanya, tumpuan utama ketika ini adalah untuk memperkukuh kerjasama dalam PN.