Adakah parti nasional akan ‘dipujuk’ Warisan untuk dapat kuasa, soal Armizan

Adakah parti nasional akan ‘dipujuk’ Warisan untuk dapat kuasa, soal Armizan

Timbalan Setiausaha Agung GRS Armizan Mohd Ali berkata 'taktik' itu mungkin digunakan walaupun ia sering mendakwa kerjasama dengan parti nasional dalam PRN dianggap kompromi untuk hak dan kepentingan negeri.

armizan
Armizan Mohd Ali berkata Warisan perlu melihat diri sendiri apabila sering menggambarkan GRS sebagai ‘parti lompat’ sedangkan ia mendapat kuasa di luar pilihan raya melalui Adun yang melompat parti.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempersoalkan sama ada Warisan akan bekerjasama dengan parti nasional untuk mendapat kuasa selepas PRN Sabah 29 Nov ini.

Timbalan Setiausaha Agung, Armizan Mohd Ali, berkata taktik itu mungkin digunakan Warisan walaupun sering mendakwa kerjasama dengan parti nasional dalam PRN dianggap berkompromi dalam memperjuangkan hak dan kepentingan negeri.

Merujuk pembentukan kerajaan selepas PRU 2018, Armizan berkata Presiden Warisan Shafie Apdal dilantik sebagai ketua menteri walaupun parti itu tidak menang pilihan raya tetapi memujuk wakil rakyat melompat parti untuk menyokongnya selepas PRN.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Papar berkata keadaan itu berlaku walaupun Ketua Menteri Musa Aman yang menerajui BN menang PRU 2018, tidak meletak jawatan.

“Tetapi terlantik pula Ketua Menteri baharu apabila partinya menerima wakil-wakil rakyat melompat.

“Pada tahun sama, ketua menteri berkuasa hasil menerima wakil-wakil rakyat melompat itu menjawab di Sidang DUN, kerajaannya tidak bercadang memperkenalkan undang-undang anti lompat, bertentangan dengan asas demokrasi,” katanya di Facebook.

Untuk rekod pentadbiran Shafie sewaktu itu turut dianggotai parti nasional iaitu Pakatan Harapan (PH)

Armizan berkata undang-undang lompat parti hanya diperkenalkan di bawah pentadbiran GRS yang diketuai Hajiji Noor pada 2023.

“Pada 2018, presiden Warisan menjadi ketua menteri selepas memujuk dan menerima wakil-wakil rakyat parti lain melompat.

“Tahun 2025 – apakah pula taktik baharu yang akan digunakan untuk memastikan dapat ‘berkuasa semula’?

“Adakah Warisan akan memujuk wakil-wakil rakyat parti lain menyokong presidennya sebagai ketua menteri? Termasuk menerima wakil-wakil rakyat ‘Parti Nasional’, sungguhpun kini bekerjasama dengan Parti Nasional dalam pilihan raya Sabah dianggap berkompromi dalam memperjuangkan hak dan kepentingan negeri,” katanya.

Justeru, Armizan membidas Warisan yang sering menggambarkan GRS sebagai ‘parti lompat’ sedangkan ia mendapat kuasa di luar pilihan raya melalui Adun yang melompat parti.

“Dalam menuding jari ke arah GRS, saya fikir perlu juga mereka yang bercakap itu termasuk barisan politikus lama (untuk) melihat kepada diri sendiri – adakah mereka tidak pernah bertukar parti (atau) adakah parti mereka suci tidak pernah menerima pemimpin lompat dari parti lain?

“Tidak perlu diulas panjang, kalau sebelum ini mereka tuduh GRS parti lompat, maka jadilah parti mereka kini, Warisan khususnya, sarang pemimpin lompat.

“Hari ini Warisan kata gah bertanding 73 kerusi (DUN pada PRN). Tidak bekerjasama dengan mana-mana pihak, tetapi melihat kepada pendirian (ia) tidak konsisten (seperti yang berlaku) sebelum ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.