
Ahli Parlimen Papar itu berkata tiada undang-undang yang menghalang mana-mana pihak yang bukan wakil rakyat untuk berpindah parti kerana ia merupakan hak individu tersebut.
Armizan enggan mengulas punca beberapa individu itu melompat parti tetapi tidak menolak kemungkinan mereka tidak berpuas hati kerana tidak dicalonkan dalam PRN Sabah tidak lama lagi.
“Kalau itulah puncanya, ia mungkin menjadi ruang pembersihan dalam parti kerana perjuangan kita adalah untuk rakyat dan bukan berlandaskan kepentingan individu,” katanya yang dipetik Sinar Harian sebagai berkata dalam satu sidang media di Papar.
Beliau berkata demikian ketika ditanya wartawan mengenai laporan beberapa ahli parti yang beralih sokongan kepada parti lain seperti Warisan.
Baru-baru ini, Timbalan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Pitas, Harun Ismail; Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Pantai Manis, Amri Abu Bakar, dan Ketua Bahagian Parti Liberal Demokratik (LDP) Tanjung Kapor, Peter Chin Kee Yong dilaporkan menyertai Warisan.
Sementara itu, Armizan turut mempersoalkan pendirian Warisan seolah-olah menormalisasikan tindakan melompat parti walaupun sebelum ini sering menuduh GRS sebagai ‘parti lompat’ dan sarang kepada orang-orang melompat.
“Tetapi kalau kita lihat perkembangan terbaharu ini, mereka yang melompat termasuk kepimpinan parti tertentu bukan hanya daripada Gagasan Rakyat atau GRS, malah ada juga dari Barisan Nasional yang diberikan sambutan permadani merah dan diadakan sidang akhbar untuk meraikan kemasukan mereka.
“Kalau sebelum ini GRS dikatakan sarang orang lompat, kini mereka sendiri menerima pemimpin daripada parti lain,” katanya.
“Terima kasih kepada Warisan kerana mereka telah menjawab tuduhan yang mereka buat terhadap GRS sebelum ini.”