
Menegaskan gabungan itu tidak pernah tewas pilihan raya, Bung berkata, BN jatuh apabila beberapa Adun melompat parti selepas PRU14.
“Tindakan (lompat parti) ini bukan sahaja menggugat kestabilan politik Sabah, malah turut mengkhianati mandat yang diberi oleh rakyat yang memilih BN melalui proses demokrasi yang sah,” katanya, lapor Jesselton Times.
Bung yang juga pengerusi BN negeri berkata, insiden lompat parti pada 2018 itu wajar menjadi pengajaran penting kepada rakyat Sabah agar tidak membiarkan masa depan mereka dicatur oleh ‘katak’.
Pada PRU14, BN Sabah menang 31 kerusi DUN, mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri selepas Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) memberi sokongan kepada Musa Aman, yang kemudiannya mengangkat sumpah sebagai ketua menteri pada 10 Mei.
Namun, kira-kira 48 jam kemudian, enam Adun BN Sabah, iaitu empat daripada Umno dan dua Upko, melompat menyertai Warisan yang memperoleh 21 kerusi.
Susulan itu, Presiden Warisan Shafie Apdal mengangkat sumpah sebagai ketua menteri baharu.
Bung juga berkata, rakyat Sabah kini berdepan ‘kelesuan demokrasi’ kerana pengundi sudah jelak dengan politik tanpa prinsip dan tidak konsisten.
“Kerajaan yang lahir daripada pengkhianatan tidak mampu menyemai keyakinan,” katanya.