
Muhammad Ezwan Syafiq Joha, 27, bersama isterinya, Nurul Hidayah Mahat, 24, dan Muhammad Affizan Abdullah, 24, serta isterinya Endang Nur Nabila Suriana Mahat, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof, lapor Sinar Harian.
Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama dengan niat curang menyimpan harta iaitu seutas gelang tangan, dua rantai leher dan seutas rantai tangan dengan berat keseluruhan 247.65g milik Siti Nur Khalieda.
Mereka didakwa melakukan perkara itu dengan sebab mempercayai harta tersebut telah dipindahkan dengan jalan rompakan berkumpulan.
Keempat-empat tertuduh didakwa melakukan jenayah itu di sebuah rumah di Kampung Aman, Pokok Sena, Kepala Batas pada jam 9 malam, 25 April lalu.
Mereka didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 412 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali tidak menawarkan sebarang jaminan kepada kesemua tertuduh di atas alasan kesalahan yang dilakukan adalah jenayah yang tidak boleh dijamin.
Peguam Ranjit Singh Sandhu yang mewakili semua tertuduh memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin kerana ada diantara mereka menghidap kencing manis kronik dan perlu menjaga anak yang masih kecil.
Selepas mendengar hujahan tertuduh, Noor Aini membenarkan setiap tertuduh diikat jamin masing-masing RM18,000 dengan seorang penjamin.
Beliau menetapkan tarikh 19 Julai untuk serahan dokumen.
Dalam kejadian pada 25 April lalu, beberapa suspek dilaporkan memecah masuk rumah Siti Nur Khalieda dan melarikan sejumlah barang kemas.
Pada 3 Jun lalu, pempengaruh berusia 27 tahun itu memuat naik sebuah video di Tiktok mendakwa terpaksa mendedahkan kejadian itu, kerana selepas 40 hari berlaku susulan belum ada sebarang tangkapan dibuat terhadap suspek.
Dalam video tersebut, Kieda mendakwa dia kerugian RM800,000 selepas peti besi mengandungi barang kemas dilarikan perompak yang memecah masuk kediamannya dan berkata dirinya serta suaminya trauma dengan kejadian tersebut.