Wanita didakwa bunuh budak lelaki 7 tahun di Pasir Gudang

Wanita didakwa bunuh budak lelaki 7 tahun di Pasir Gudang

Saniah Osman didakwa membunuh kanak-kanak itu di ruang tamu sebuah rumah pada Disember lalu.

Saniah Osman
Saniah Osman dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru untuk didakwa atas tuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun di sebuah rumah di Pasir Gudang pada Disember lalu. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun di Pasir Gudang, Disember lepas.

Saniah Osman, 55, yang juga seorang peniaga, kelihatan sugul dan hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nabilah Nizam.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Muhammad Aswad Muhammad Fairuz di ruang tamu sebuah rumah di Taman Kota Masai, Pasir Gudang antara 7.30 malam, 29 Dis hingga 1.30 pagi, 30 Dis tahun lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Deana Aqilah Aliman.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 9 Mac ini sebagai tarikh sebutan kes bagi mendapatkan laporan post mortem, kimia dan DNA.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.