
Hakim Evrol Mariette Peters memerintahkan wanita tersebut dan suami baharunya secara bersesama dan berasingan memulangkan RM310,000 yang diperolehi daripada si bekas suami antara tahun 2012 dan 2019.
Beliau juga memerintahkan pasangan itu membayar RM400,000 sebagai ganti rugi teruk dan RM300,000 lagi sebagai ganti rugi teladan kepada si bekas suami.
Selain itu, Peters, kini hakim Mahkamah Rayuan, memerintahkan pasangan itu membayar kos sebanyak RM200,000 kepada si bekas suami.
Menurut alasan penghakiman, Peters berkata wanita itu memperoleh beberapa perintah persetujuan secara fraud susulan perkahwinannya dengan si bekas suami dibubarkan pada 2011.
“Tindakan wanita itu yang sengaja menyembunyikan perkahwinan semula bawah Seksyen 82 Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) telah menghapuskan kelayakan untuk menerima nafkah isteri daripada bekas suami dan membatalkan persetujuan tersebut,” katanya.
Peters memutuskan perjanjian berkenaan pembayaran tersebut, yang menjadi asas kepada beberapa perintah persetujuan yang direkodkan oleh mahkamah, berlandaskan representasi wanita itu bahawa dia belum berkahwin lagi.
Mana-mana perintah persetujuan yang berasaskan pembohongan material tidak boleh dikekalkan, menurut hakim, yang menambah bahawa membiarkan perintah berkenaan berkuat kuasa akan mengekalkan ketidakadilan.
“Penipuan itu bukan sahaja mencemari peruntukan khusus berkenaan nafkah isteri. Ia merebak seperti jangkitan, menjejaskan keseluruhan perintah persetujuan (yang direkodkan oleh mahkamah),” kata Peters.
Hakim mengakui Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) tiada peruntukan nyata yang secara khusus memberi kuasa kepada mahkamah untuk memerintahkan pemulangan semula nafkah isteri.
“Bagaimanapun, ini tidak bermakna mahkamah tiada kuasa,” tambahnya.
Sehubungan itu, Peters membatalkan keseluruhan set perintah persetujuan yang direkodkan mahkamah sebelum ini.
Hakim memberikan kepada si bekas suami ganti rugi teruk atas pemenjaraan selama 51 hari kerana didakwa menghina mahkamah, dengan mengambil kira kehilangan kebebasan, kerosakan reputasi, dan tekanan emosi yang dialami.
Peters juga memberikan ganti rugi teladan untuk menghukum pelaku atas kelakuan yang menghina dan keji, serta sebagai pengajaran kepada orang lain yang berniat melakukan perkara sama.
“Dalam kes ini, tingkah laku wanita tersebut adalah amat buruk dan sangat keji,” katanya, dan menambah bahawa wanita itu menyalahnyatakan fakta material dan memperdayakan mahkamah dalam setiap kesempatan.
Peters berkata wanita itu “memperlekehkan mahkamah” dan mempamerkan sikap tidak hormat yang dirancang serta berani terhadap kewibawaan mahkamah, perintah-perintahnya, dan kewajipan untuk berlaku jujur dalam prosiding kehakiman.
Fakta kes mendedahkan bahawa si bekas suami dan wanita itu berkahwin pada 1994 dan mempunyai empat orang anak yang kini semuanya dewasa.
Wanita itu keluar dari rumah mereka pada 2008, menyatakan hubungan mereka tidak dapat dipulihkan lagi, kononnya disebabkan oleh tindakan kejam si bekas suami.
Si lelaki menolak tuduhan tersebut dan menegaskan bahawa perkahwinan mereka runtuh disebabkan hubungan sulit wanita itu dengan suaminya sekarang.
Pada 2011, Mahkamah Tinggi membenarkan petisyen perceraian wanita itu dan memerintahkan pembayaran nafkah isteri dan anak.
Setahun kemudian, wanita itu berkahwin dengan suaminya sekarang di Sri Lanka tanpa pengetahuan si bekas suami.
Antara 2012 dan 2019, walaupun telah berkahwin semula, wanita itu berulang kali memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap si bekas suami untuk menguatkuasakan pembayaran nafkah.
Prosiding tersebut membawa kepada beberapa perintah persetujuan, malah mengakibatkan si bekas suami dipenjarakan atas dakwaan menghina mahkamah.
Pada Oktober 2019, si bekas suami itu mendapat tahu wanita tersebut telah berkahwin semula.
Si bekas suami memfailkan saman pemula bagi mencabar keseluruhan asas tuntutan kewangan wanita itu atas alasan ia dibina atas penipuan dan pakatan sulit dengan suami sekarang.