
Yeoh Hock Sun, 63, membuat pengakuan itu ketika dirawat di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Surita Budin, lapor Sinar Harian.
Difahamkan, prosiding itu juga terpaksa ditangguhkan kira-kira 20 minit selepas Yeoh mengadu mengalami sesak nafas secara tiba-tiba.
Prosiding disambung semula selepas doktor mengesahkan Yeoh berada dalam keadaan stabil.
Mengikut pertuduhan, Yeoh didakwa melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan bahan letupan yang menyebabkan kerosakan terhadap sebuah kenderaan pacuan empat roda milik seorang lelaki.
Kesalahan itu dilakukan pada 22 Dis 2025, kira-kira 5.55 pagi di kawasan parkir Blok A, Pangsapuri Desa Palma, Nilai.
Berikutan itu, Yeoh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Mengikut tiga pertuduhan lain, Yeoh didakwa memiliki bahan letupan dalam keadaan yang menimbulkan anggapan munasabah bahawa berniat menggunakannya bagi maksud menyebabkan kecederaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada tarikh sama, antara 12.30 tengah hari hingga 7.30 malam, di sebuah unit Pangsapuri Desa Palma, di dalam sebuah kereta Proton Wira yang diletakkan di kawasan Star Valley, Nilai, serta di tepi jalan utama Kampung Batang Benar, Mantin, Nilai.
Bagi kesalahan berkenaan, pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 3 Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Selain itu, Yeoh turut didakwa di bawah Seksyen 4 akta yang sama kerana menggunakan bahan letupan buatan sendiri (IED) secara salah dan dengan niat jahat untuk mendatangkan kecederaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun dan sebatan.
Mahkamah menetapkan 12 Feb depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap Yeoh.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni.