
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Sabariah Saidan, berkata jika pembangkang meragui pengumuman Menteri Besar Wan Rosdy Ismail berhubung penoktahan miskin tegar di negeri itu, mereka boleh mendapatkan pengesahan dengan pejabat daerah kawasan masing-masing.
“Kita tiada masalah dedahkan (kepada umum) nama mereka yang dikeluarkan daripada kategori miskin tegar,” katanya kepada FMT.
“Tetapi, kalau sudah dibentang dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) dan menteri besar pun sudah umum, memang benda itu betul.
“Kalau pembangkang nak semak (status miskin tegar), boleh sahaja semak dengan pejabat daerah masing-masing.”
Terdahulu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang Andansura Rabu menggesa Wan Rosdy mendedahkan senarai nama mereka yang dikeluarkan daripada kategori miskin tegar.
Katanya, pendedahan kepada umum penting untuk wakil rakyat menilai dan menyemak sama ada ia berdasarkan keadaan sebenar atau sebaliknya, memandangkan masih ramai rakyat hidup susah.
Pada 29 Mei lalu, Wan Rosdy dilaporkan berkata Pahang berjaya menoktahkan kemiskinan tegar selari dengan aspirasi kerajaan sebelum ini.
Katanya, sebanyak 1,946 ketua isu rumah yang sebelum ini direkodkan sebagai miskin tegar berjaya melonjakkan pendapatan mereka, sekali gus terkeluar daripada kategori berkenaan.
Bagaimanapun, menurutnya status kemiskinan tegar di negeri itu boleh berubah pada masa akan datang.
Menyokong kenyataan Wan Rosdy, Sabariah berkata status sifar miskin tegar yang dicapai Pahang bukan perkara kekal.
“Tahun lepas sahaja, daripada 4,000 lebih ketua isi rumah (KIR) miskin tegar, kita berjaya kurangkan kepada 1,000 lebih sahaja, dan tahun ini sifar,” katanya.
“Angka sifar tidak bermakna tak akan ada lagi miskin tegar di Pahang, namun kerajaan negeri akan memantau dan berusaha membantu (golongan itu).”