
Larry Sng (PBM–Julau) berkata cadangan itu dilihat lebih berkesan berbanding memberi bantuan tunai kepada golongan kurang bernasib baik yang dibelenggu hutang pendidikan.
“Kerajaan patut mempertimbangkan untuk menghapuskan hutang peminjam PTPTN daripada golongan B40 ke bawah, khususnya miskin tegar serta mereka yang telah lama menganggur.
“Daripada memberi bantuan tunai, adalah lebih berkesan untuk menghapuskan hutang tersebut secara menyeluruh,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat.
Sng turut mencadangkan kerajaan mencontohi kerajaan Sarawak yang membantu peminjam anak negeri itu membayar hutang PTPTN.
“Bantu mereka yang benar-benar tidak mampu membayar. Jika kerajaan Sarawak mampu membantu rakyat melangsaikan hutang PTPTN, mengapa kerajaan lain tidak boleh?
“Ini bukan soal kemampuan semata-mata, tetapi persoalan kemahuan politik dan keikhlasan membantu rakyat,” katanya.
Sarawak pada 5 Mac 2021 menandatangani memorandum persefahaman dengan PTPTN berhubung insentif bayaran balik pinjaman untuk anak negeri itu.
Melalui kerjasama itu, kerajaan Sarawak akan membayar sebanyak 30% daripada baki hutang pinjaman PTPTN bagi peminjam yang telah menyelesaikan sekurang-kurangnya 30% hutang pinjaman mereka.
Dalam perkembangan sama, Sng turut menggesa kerajaan memastikan kursus di universiti selaras dengan keperluan pasaran supaya graduan yang tamat pengajian ada peluang pekerjaan.
“Jika graduan menganggur kerana kursus tidak relevan, kerajaan seharusnya menanggung implikasi tersebut. Jangan bazirkan masa dan tenaga anak muda,” katanya.