Miskin tegar di Selangor telah dinoktahkan, kata PM

Miskin tegar di Selangor telah dinoktahkan, kata PM

Anwar Ibrahim bagaimanapun tegaskan, pemantauan mesti diteruskan agar tiada keluarga tercicir daripada terima manfaat.

anwar ibrahim
PM Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Pembangunan Daerah Petaling di Shah Alam petang tadi, yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor Amirudin Shari. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Isu kemiskinan tegar di Selangor telah dinoktahkan hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif pembasmian kemiskinan yang berkesan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya dalam Mesyuarat Pembangunan Daerah Petaling di Shah Alam petang tadi, yang dipengerusikan beliau.

Bagaimanapun, perdana menteri menegaskan, pemantauan mesti diteruskan untuk memastikan tiada keluarga yang tercicir daripada menerima manfaat.

“Lebih penting, setiap keluarga mesti diberi peluang untuk bangkit, diperkasakan melalui latihan, sekali gus berupaya menjana pendapatan sendiri.

“Kekuatan ekonomi Selangor harus dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengangkat martabat hidup rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Dalam masa sama, Anwar mahu kejayaan program Sejati Madani di Petaling diperluas, khususnya dalam membantu golongan miskin bandar.

Beliau berkata, inisiatif seperti program jahitan di Kampung Melayu Subang, madu kelulut di Bayu Damansara dan pembuatan perabot di Bukit Lanchong membuktikan bahawa dengan sokongan yang tepat, rakyat mampu mencipta perubahan yang bermakna, dengan menjana pendapatan antara RM24,000 hingga RM100,000.

“InsyaAllah, dengan kesungguhan semua pihak, kita akan terus berusaha untuk menyelesaikan masalah tertangguh, memperkukuh kekuatan sedia ada serta memastikan nikmat pembangunan ini benar-benar dirasai oleh rakyat,” katanya.

Beliau berkata, mesyuarat itu antara lain turut meneliti kemajuan pelaksanaan projek rakyat yang mendesak serta merangka penyelesaian kepada isu berbangkit seperti penyenggaraan jalan raya dan kemajuan projek mitigasi banjir.

Katanya, mesyuarat itu turut menyentuh soal pengurusan bandar dan sosial termasuk perkara berkaitan rumah ibadat, pengurusan sisa serta isu penternakan babi.

“Semua ini menuntut pendekatan yang lebih tersusun dan berkesan agar kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya.

“Saya juga tekankan keperluan tindakan segera bagi mengurangkan kesulitan rakyat sementara menunggu projek tebatan banjir jangka panjang disiapkan.”

Mesyuarat lebih sejam itu turut dihadiri Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan; Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir; Menteri Besar Selangor Amirudin Shari; Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar; barisan exco kerajaan negeri serta pegawai kanan daerah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.