
Seorang pembantu perdana menteri menjelaskan, bantuan itu hanya disasarkan bagi warga emas dengan pendapatan isi rumah di bawah garis kemiskinan RM1,198 sebulan.
“Bantuan ini khusus untuk kumpulan warga emas yang layak, bukan untuk semua orang. Kategori lain ialah warga emas yang tinggal bersendirian tanpa sokongan kewangan,” katanya kepada FMT.
Terdahulu, beberapa warganet di media sosial mempersoalkan kesahihan mesej tular yang mendakwa semua warga emas akan menerima RM600 setiap bulan daripada kerajaan.
Mesej itu didapati tidak jelas kerana gagal menyatakan syarat had pendapatan isi rumah penerima.
Mengikut takrifan Jabatan Kebajikan Masyarakat, kategori ‘miskin tegar’ ialah isi rumah berpendapatan kurang RM1,198 sebulan.
Hanya warga emas daripada isi rumah dengan jumlah pendapatan kurang daripada paras itu layak menerima bantuan. Warga emas tanpa anak, sama ada tinggal bersendirian atau bersama saudara-mara atau penjaga, juga layak.
Bagaimanapun, warga emas dengan pendapatan melebihi had kemiskinan tegar boleh membuat rayuan bagi pertimbangan khas, tertakluk kepada keadaan mereka.