Miskin tegar hampir dihapuskan, kini pada kadar 0.09%, kata menteri

Miskin tegar hampir dihapuskan, kini pada kadar 0.09%, kata menteri

Menteri ekonomi Amir Hamzah Azizan berkata kurang daripada 8,000 isi rumah di seluruh negara masih dikategorikan sebagai miskin tegar.

amir hamzah azizan fmt pic 23925
Menteri Ekonomi Amir Hamzah Azizan berkata pelbagai inisiatif kerajaan untuk meningkatkan pendapatan rakyat serta memperkasa komuniti bandar dari segi ekonomi telah menunjukkan keberkesanan.
PUTRAJAYA:
Tahap kemiskinan tegar di Malaysia kini hampir dihapuskan, dengan kadar direkodkan hanya 0.09%, menurut Menteri Ekonomi Amir Hamzah Azizan.

Amir berkata angka itu menunjukkan kurang daripada 8,000 isi rumah di seluruh negara masih dikategorikan sebagai miskin tegar.

“Ini membuktikan pelbagai inisiatif kerajaan untuk meningkatkan pendapatan isi rumah dan memperkasa komuniti bandar dari segi ekonomi telah menunjukkan keberkesanan,” katanya semasa pelancaran Kajian Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2024 di sini hari ini.

Beliau turut memaklumkan kadar kemiskinan mutlak juga menurun kepada 5.1%, berbanding 6.2% pada tahun 2022.

Pada tahun lalu, Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) makanan – yang digunakan untuk menentukan ambang kemiskinan tegar – ditetapkan pada RM1,236.

Sementara itu, PGK keseluruhan yang menjadi ukuran kemiskinan mutlak kini berada pada paras RM2,705.

Secara berasingan, Amir berkata pendapatan purata isi rumah kini mencecah RM9,155, dengan kadar pertumbuhan tahunan 3.8% antara 2022 hingga 2024.

Pendapatan median isi rumah pula meningkat kepada RM7,017, dengan pertumbuhan 5.1% dalam tempoh yang sama.

Beliau menambah bahawa pekali Gini – yang mengukur ketidaksamaan pendapatan atau kekayaan dalam sesebuah negara – menurun daripada 0.404 pada 2022 kepada 0.39 pada 2024.

“Ini menunjukkan jurang pendapatan antara golongan berpendapatan tinggi dan rendah semakin mengecil,” katanya.

“Saya percaya usaha kerajaan untuk mengurangkan ketidaksamaan pendapatan dan meningkatkan kadar upah telah mula menunjukkan hasil.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.