
Menteri Besar Amirudin Shari, berkata kerajaan negeri mengenal pasti mereka yang berisiko jatuh dalam kumpulan miskin tegar akibat terlantar atau berdepan permasalahan yang menekan.
“Walaupun mereka ini belum jatuh ke kategori miskin tegar, kita akan cuba bantu untuk selesaikan masalah supaya tidak masuk ke dalam kategori tersebut seterusnya keluar daripada kemiskinan, sebab itu kita akan formulakan sesuatu pada belanjawan (negeri pada 2026).
”Disiplinnya sama, setiap enam bulan kita dapat laporan kita akan keluarkan mereka dengan sokongan bantuan yang ada dan bagi miskin yang terlantar atau tak boleh bekerja kita akan cuba bantu sebelum jatuh ke miskin tegar atau paling tidak dapat menyara kehidupan secara paling asas,” katanya menurut Bernama.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Sambutan Deepavali Peringkat Negeri Selangor 2025, di Klang.
Amirudin berkata, senarai mereka yang terlibat akan dikemukakan kepada pihaknya setiap enam bulan dan dihubungkan terus dengan instrumen bantuan seperti Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) serta zakat.
“Banyak juga yang kerajaan negeri belanjakan untuk menoktahkan kemiskinan tegar ini, tetapi dari awal dahulu kita telah kenal pasti 700 individu dan ia berkurang kepada 300 orang.
”…ini melibatkan bantuan kewangan, ada yang memerlukan RM400 kita tambah dengan wang zakat dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk orang Islam manakala bagi bukan Islam sudah pasti ada bantuan daripada kerajaan negeri dan JKM,” katanya.