Bantuan SARA RM100: Menampi fakta daripada fiksyen

Bantuan SARA RM100: Menampi fakta daripada fiksyen

Ketika kerajaan menjalankan inisiatif RM2 bilion untuk meringankan beban 22 juta rakyat, FMT menghurai salah faham lazim dan menerangkan fakta sebenar.

SARA BANTUAN 100
Kredit Penghargaan SARA RM100 adalah sah dan tersedia, serta boleh dituntut sehingga 31 Dis 2025 di lebih 7,300 premis runcit berdaftar.
PETALING JAYA:
Bantuan sekali beri Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 oleh kerajaan mencetuskan pelbagai reaksi, termasuk penghargaan dan kekeliruan dalam kalangan rakyat, lalu membawa kepada penyebaran mitos dan maklumat salah terutama di media sosial.

Ketika inisiatif RM2 bilion untuk membantu 22 juta rakyat ini sedang berjalan, FMT mahu menghurai beberapa salah faham lazim dan menerangkan fakta sebenar.

Mitos 1: Bantuan ini pemberian wang tunai

Fakta: Bantuan ini bukan pembayaran wang tunai secara langsung. Ia juga tidak dikreditkan ke dalam mana-mana e-dompet atau didepositkan ke dalam akaun bank.

Sebaliknya, RM100 dikreditkan terus ke cip mikro MyKad setiap penerima, yang bertindak sebagai alat pembayaran tanpa tunai.

Dana tersebut hanya boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan yang diluluskan, di peruncit-peruncit yang mengambil bahagian di seluruh negara, dan tidak boleh ditukarkan kepada wang tunai.

Langkah ini bertujuan untuk memastikan ketelusan dan mencegah ketirisan, agar bantuan sampai terus kepada penerima.

Mitos 2: Anda perlu memohon bantuan ini dalam talian melalui pautan.

Fakta: Ini taktik penipuan.

Kementerian Kewangan dan pegawai kerajaan berulang kali menjelaskan bantuan ini diagihkan secara automatik, tanpa perlu memohon dalam talian atau secara manual.

Semua warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas, berdasarkan data Jabatan Pendaftaran Negara, layak menerima bantuan ini.

Orang awam dinasihatkan untuk tidak menekan, atau berkongsi, sebarang pautan mencurigakan.

Mitos 3: Kredit Penghargaan SARA hanya untuk isi rumah berpendapatan rendah.

Fakta: Ini tidak benar.

Penghargaan SARA RM100 adalah bantuan sekali beri yang dikreditkan secara automatik kepada semua warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas, tanpa mengira tahap pendapatan atau latar belakang.

Liputan menyeluruh ini merupakan suatu peralihan yang penting dalam dasar kerajaan. Ini kali pertama dalam sejarah bantuan wang tunai diberikan kepada semua rakyat dewasa.

Kredit Penghargaan SARA RM100 adalah sah dan tersedia, serta boleh dituntut sehingga 31 Dis 2025 di lebih 7,300 premis runcit berdaftar di seluruh negara.

Mitos 4: Sistem agihan bantuan rosak dan tak boleh dipercayai.

Fakta: Gangguan teknikal yang dialami sistem MyKasih pada 31 Ogos iaitu hari pertama bantuan diagihkan telah diperbaiki.

Pada 31 Ogos, sistem menghadapi lonjakan trafik, mencapai lebih 2,000 transaksi seminit, hampir empat kali ganda rekod sebelumnya iaitu 540 transaksi seminit yang dicatatkan pada April 2025.

Ini disebabkan kira-kira 850,000 orang membelanjakan lebih RM50 juta pada hari pertama, lalu membebankan sistem dan menyebabkan beberapa transaksi mengalami kelewatan dan ada juga yang gagal.

Kementerian Kewangan dan Yayasan MyKasih telah memohon maaf atas masalah teknikal tersebut.

Pelayan MyKasih telah dinaik taraf kepada tiga kali ganda kapasiti asal dan kini mampu mengendalikan 2,800 transaksi seminit untuk menampung sebarang lonjakan transaksi pada masa hadapan.

Mitos 5: Sebuah syarikat swasta, Yayasan MyKasih, mengaut keuntungan dengan mengumpul data peribadi untuk milikan sendiri.

Fakta: Yayasan MyKasih adalah organisasi bukan berasaskan keuntungan dan tidak mengumpul data pengguna.

Kerajaan melalui Kementerian Kewangan satu-satunya pemegang amanah semua data peribadi yang dikumpul bawah program SARA dan Penghargaan SARA.

Selaku penyedia platform, MyKasih mempunyai akses kepada maklumat terhad, memadai untuk membolehkan pihak yayasan menghubungi penerima bagi tujuan operasi, seperti mengesahkan transaksi dan menyelesaikan percanggahan.

MyKasih tidak berkongsi sebarang data peribadi dengan pihak ketiga.

Mitos 6: Yayasan MyKasih tentukan kelayakan untuk bantuan bawah program SARA.

Fakta: Program SARA inisiatif bersasar yang direka untuk menyokong rakyat yang paling terkesan dengan kos sara hidup yang tinggi. Pendaftaran adalah automatik. Yayasan Mykasih tidak memainkan peranan dalam menentukan kelayakan penerima bantuan.

Warganegara Malaysia dalam tiga kategori — isi rumah, individu bujang, dan warga emas tanpa pasangan — yang tersenarai setakat 31 Okt 2024 sebagai ‘miskin tegar’ atau ‘miskin’ dalam pangkalan data eKasih kerajaan secara automatik layak menerima bantuan tersebut.

Ini memastikan bantuan sampai terus kepada segmen masyarakat yang paling rentan, meminimumkan ketirisan pentadbiran dan mengurangkan risiko salah peruntukan atau penyalahgunaan.

Bantuan dikreditkan secara bulanan terus ke MyKad penerima yang layak, dan boleh ditebus untuk barangan keperluan di peruncit terpilih di seluruh negara.

Pangkalan data eKasih diselenggara Jabatan Perdana Menteri.

Rakyat boleh semak kelayakan melalui laman web rasmi SARA, di sini: https://www.sara.gov.my/

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.