
Mukfarnizan Mukhtar, 41, pembantu pengurusan murid di sekolah berkenaan didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja berusia 14 tahun enam bulan itu di dalam sebuah tandas sekolah itu pada 9 pagi, 24 Nov 2022.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad memohon kepada mahkamah untuk mengenakan jaminan paling tinggi terhadap tertuduh memandangkan perbuatan itu dilakukan terhadap remaja bawah umur yang juga OKU.
Bagaimanapun peguam Ahmad Nizam Mohamed yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah sebanyak RM5,000 memandangkan tertuduh memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis dan mahkamah.
Hakim Nik Habri Muhamad membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Jun sebagai tarikh sebutan semula kes.