
Peguam Ashraf Sohaimi yang mewakili Daud selaku plaintif berkata kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes saman itu secara baik.
“Kedua-dua pihak bersetuju dengan terma-terma yang diberikan, jadi hari ini kes selesai tanpa perlu melalui perbicaraan,” katanya kepada pemberita.
Prosiding penyelesaian kes direkodkan dalam kamar Hakim Ibrahim Osman yang turut dihadiri peguam Abdul Hadi Ahmad mewakili Muhamad.
Pada 20 Jan lepas, media melaporkan kes saman fitnah yang difailkan oleh Daud terhadap Muhamad diteruskan selepas gagal mencapai penyelesaian secara baik semasa proses mediasi di Pusat Mediasi Mahkamah Alor Setar.
Menerusi saman difailkan pada Oktober lepas, Daud mendakwa Muhamad membuat satu kenyataan menerusi Facebook yang mengandungi fakta tidak tepat berkaitan pemilikan KDA FC pada 29 Jun tahun lepas.
Daud menamakan Muhamad selaku defendan tunggal serta menuntut pampasan, ganti rugi am, teruk dan teladan terhadapnya.
Sementara itu, Muhamad dalam prosiding permohonan maaf mengakui telah menarik balik semua kenyataan tersebut dan memohon maaf tanpa syarat atas segala kesan ketidakselesaaan dan kerosakan terhadap nama baik serta reputasi Mohd Daud akibat kenyataan tersebut.
Muhamad turut menyatakan aku janji bahawa tidak akan mengulangi kenyataan bersifat sama terhadap Mohd Daud pada masa akan datang sama ada secara langsung atau tidak langsung.