JPA harus jelaskan pegangan saham Azam, kata Guan Eng

JPA harus jelaskan pegangan saham Azam, kata Guan Eng

Ahli Parlimen DAP berkata, jika ketua pesuruhjaya SPRM langgar peraturan, wajar ambil tindakan disiplin atau semak jawatan Azam Baki.

lim guan eng
Lim Guan Eng daripada DAP berkata, prinsip integriti, akauntabiliti dan ketelusan wajib dipertahankan bagi individu yang memegang jawatan sepenting ketua pesuruhjaya SPRM. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Lim Guan Eng mendesak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya tampil menjelaskan sama ada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki melanggar peraturan berhubung had pemilikan saham oleh penjawat awam dalam sesebuah syarikat.

Ahli Parlimen Bagan daripada DAP itu berkata, rakyat berhak tahu sama ada Azam bertindak mengikut garis panduan pekeliling kerajaan pada 2024 berkaitan tatakelakuan dan disiplin penjawat awam.

“Jika Azam tidak melanggar pekeliling berkenaan, maka beliau berhak menggunakan hak peribadinya untuk mengambil tindakan undang-undang,” katanya dalam kenyataan.

“Namun, sekiranya beliau didapati melanggar pekeliling ini, kerajaan perlu menjelaskan bentuk tindakan tatatertib yang telah diambil, sama ada inkuiri khas harus dijalankan, serta kewajaran beliau terus menyandang jawatan tersebut.

“Prinsip integriti, akauntabiliti, dan ketelusan wajib dipertahankan bagi individu yang memegang jawatan sepenting ketua pesuruhjaya SPRM,” katanya.

Pekeliling kerajaan pada 2024 mengenai tatakelakuan penjawat awam menetapkan bahawa mereka hanya dibenarkan memegang saham dalam syarikat yang diperbadankan di Malaysia, tidak lebih 5% daripada modal berbayar atau bernilai RM100,000, mana-mana lebih rendah.

Semalam, Azam memaklumkan beliau sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap agensi-agensi media susulan laporan yang didakwa ‘berniat jahat, mengelirukan, dan berunsur fitnah’ berhubung pegangan sahamnya dalam Velocity Capital Bhd.

Bloomberg melaporkan bahawa Azam memegang 17.7 juta saham, atau 1.7%, berdasarkan penyata tahunan syarikat yang dikemukakan pada 3 Feb tahun lepas.

Bagaimanapun, Azam menjelaskan bahawa saham tersebut dibeli dan dijual dalam tahun yang sama dan telah diisytiharkan dengan sewajarnya.

Harga saham tahun lepas, antara RM0.015 hingga RM0.065, menjadikan nilai pegangan tersebut dianggarkan antara RM265,500 hingga RM1,150,500.

Dalam perkembangan berasingan, Malaysiakini melaporkan bahawa Azam turut memiliki saham dalam syarikat lain, Awanbiru Technology Berhad, lebih sedikit daripada 4.52 juta unit, atau 1.08% pegangan.

Saham tersebut dinilai pada harga RM0.305 seunit pada 13 Jan, menjadikan jumlah nilai pegangannya hampir RM1.38 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.