
Tertuduh, S Parthiban, 42, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Khainur Aleeza Ismail.
Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa menyimbah petrol ke atas mangsa berusia 43 tahun di sebuah rumah di Bandar Teknologi Kajang kira-kira 3.20 petang pada 30 Jan, dengan mengetahui perbuatan itu boleh menyebabkan kematian mangsa.
Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Dia turut didakwa melakukan khianat dengan api apabila menggunakan petrol untuk membakar kereta Proton Saga milik mangsa di tempat dan masa yang sama.
Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzah Shaharuddin memohon mahkamah tidak membenarkan jaminan kerana pertuduhan cubaan membunuh adalah kes yang tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun, beliau mencadangkan jaminan RM10,000 sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkannya.
Beliau juga memohon syarat tambahan dikenakan iaitu tertuduh menyerahkan pasport, melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan, serta diperintahkan supaya tidak mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan.
Parthiban, yang tidak diwakili peguam, merayu jumlah jaminan lebih rendah dengan alasan perlu menjaga anak perempuannya berusia sembilan tahun daripada perkahwinan terdahulu.
Dia memberitahu mahkamah bahawa tindakannya bukan dengan niat, sebaliknya didorong emosi dan menambah bahawa beliau menjalinkan hubungan dengan mangsa selama lima tahun.
Hakim membenarkan jaminan RM16,000 dengan seorang penjamin serta mengenakan syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 10 April untuk sebutan kes.