
Sumber SPRM berkata lelaki berusia 43 dan 37 tahun itu direman lima hari bermula hari ini selepas Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kangar Mohd Amiruldin Roslan membenarkan permohonan dibuat SPRM Perlis hari ini.
“Mereka ditahan kira-kira 5 petang semalam selepas hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Perlis,” katanya hari ini.
Sumber berkata dua syarikat kontraktor dipercayai mengemukakan tuntutan palsu bagi kerja membekal dan menghantar bahan bakar diesel di jabatan itu bagi tahun 2023 melibatkan 14,000 liter bahan api berjumlah lebih RM50,000 manakala bagi 2024 melibatkan 16,000 liter bernilai lebih RM60,000.
Beliau berkata siasatan mempercayai dua penjawat awam terbabit telah menggunakan syarikat terlibat bagi tujuan tuntutan namun pembekalan masih belum disempurnakan.
“Dua suspek itu dipercayai terlibat dalam memperakukan penerimaan pada pesanan kerajaan bagi pembekalan tersebut bagi tujuan pembayaran,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis Mohd Nor Adha Ab Gani mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.