YKM sedia tuisyen dalam talian percuma untuk anak yatim SPM

YKM sedia tuisyen dalam talian percuma untuk anak yatim SPM

Inisiatif itu sebahagian usaha YKM tingkat tahap pendidikan kira-kira 1,000 anak yatim di bawah jagaannya.

ZIARAH KASIH YKM
Pengerusi YKM Ismail Sabri Yaakob serah sumbangan sempena Tahun Baharu Cina kepada Loke Kim Yen (kiri) dan anaknya, Soh Zhe Hong, di Larkin Jaya.
JOHOR BAHRU:
Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) akan memberikan kelas tuisyen percuma secara dalam talian kepada anak yatim jagaannya yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pengerusinya Ismail Sabri Yaakob berkata, inisiatif itu selaras penekanan khusus yayasan itu untuk meningkatkan tahap pendidikan anak-anak.

“InsyaAllah, dalam masa terdekat ini, YKM akan memulakan kelas tuisyen percuma secara dalam talian kepada anak-anak YKM di seluruh negara yang akan menduduki SPM 2026 bersama MC PLUS,” kata bekas perdana menteri itu.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan YKM sempena Tahun Baharu Cina kepada penerima, Loke Kim Yen, di Larkin Jaya.

Guru piano itu kehilangan suaminya, Soh Kek Yong, akibat Covid-19 dan kini menyara dua anak yang masih bersekolah, Soh Zhe Hong, 18, dan Soh Zhe Qi, 16.

Ibu tunggal itu memikul tanggungjawab besar membesarkan Zhe Hong, anak kurang upaya yang kini mengikuti pembelajaran di Pusat Pendidikan Khas Integrasi SMK Tasek Utara 2.

Ismail turut menyampaikan bantuan sempena Ramadan kepada pembantu tadbir Norazimah Rayian di Kampung Kurnia.

Norazimah kehilangan suami, Zamri Mohd Esa, akibat Covid-19 pada 8 Mac 2021.

Kedua-dua anaknya, Adam, 15, dan Aryan, 13, masing-masing belajar di SMK Aminuddin Baki dan SMK Mohd Khalid.

Dalam pada itu, Ismail berkata, YKM memperuntukkan RM5 juta setahun bagi membantu kebajikan dan pendidikan kira-kira 1,000 anak yatim di bawah jagaannya.

Menurutnya, peruntukan itu digunakan untuk bantuan bulanan, bantuan pendidikan, sumbangan persekolahan serta bantuan khas sempena perayaan bagi memastikan kebajikan anak-anak terkesan terus terbela tanpa mengira kaum dan agama.

“YKM menanggung bantuan kewangan anak-anak penerima sehingga berusia 18 tahun, malah diteruskan sehingga ke peringkat pengajian tinggi di institusi awam dan swasta sehingga tamat pengajian ijazah pertama,” katanya.

“Selain bantuan bulanan, YKM turut menyalurkan bantuan sekali beri sempena perayaan seperti Tahun Baharu Cina, Aidilfitri, Deepavali, Krismas, Kaamatan dan Gawai sebagai sokongan tambahan kepada keluarga penerima.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.