Pecah amanah lebih RM1.2 juta, penolong akaun dipenjara 6 tahun

Pecah amanah lebih RM1.2 juta, penolong akaun dipenjara 6 tahun

Chia Ka Rong, 24, turut dihukum 8 sebatan selepas mengaku bersalah atas lapan tuduhan.

gavel
Hakim Roslinda Razali jatuh hukuman terhadap Chia Ka Rong, 24, yang didakwa buat invois palsu sebelum pindah wang syarikat ke akaun bank peribadinya. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Seorang penolong akaun dipenjara enam tahun dan lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen di Sandakan hari ini selepas mengaku bersalah terhadap lapan tuduhan pecah amanah wang syarikat lebih RM1.2 juta tahun lepas.

Hakim Roslinda Razali menjatuhkan hukuman terhadap Chia Ka Rong selepas dia gagal memberikan alasan munasabah terhadap tuduhan-tuduhan tersebut.

Roslinda menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap tuduhan dengan semua hukuman harus dijalani serentak bermula dari tarikh Chia ditangkap pada 3 Feb lepas.

Beliau turut menjatuhkan hukuman satu sebatan bagi setiap tuduhan yang harus dilaksanakan secara berasingan, lapor Bernama.

Pemuda berusia 24 tahun itu didakwa membuat invois palsu syarikat pembekal untuk tuntutan kepada syarikat tempatnya bekerja di pejabat syarikat itu di Batu 2 antara Jun hingga Oktober tahun lepas, melibatkan jumlah RM1.2 juta dengan memindahkan wang syarikat ke akaun bank peribadinya.

Dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda.

Chia yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman penjara dikurangkan dengan alasan dia anak tunggal yang perlu menyara ibu bapa.

Timbalan Pendakwa Raya B Yuvan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam dan keseriusan kesalahan yang menyebabkan syarikat mengalami kerugian.

Yuvan berkata, perbuatan berulang itu dilakukan secara dirancang kerana tertuduh melakukan beberapa transaksi untuk memindahkan wang ke akaun peribadinya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.