
Felo Akademi Sains Malaysia, Tajuddin Abdullah, berkata Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir harus mempertanggungjawabkan lembaga pengarah universiti sekiranya institusi itu gagal menangani isu terbabit
Tanggungjawab muktamad dalam perkara itu terletak pada lembaga pengarah, katanya kepada FMT.
“Jika tiada masalah, beritahu sahaja.”
Beliau berkata orang ramai mungkin melihat kegagalan universiti bertindak sebagai cubaan mengetepikan isu penting bagi mengelak terpalit dengan kontroversi.
“Tetapi kegagalan untuk menangani perkara itu boleh menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap institusi terbabit,” kata Tajuddin.
Persoalan mengenai status ahli akademik itu menyusuli temu bual individu berkenaan oleh sebuah laman berita, baru-baru ini.
Semakan di Jabatan Insolvensi Malaysia mengesahkan ahli akademik itu diisytiharkan bankrap pada 2014 dan masih belum dilepaskan setakat 25 April lalu.
Beberapa warganet juga mendakwa mereka telah mendaftar di universiti perubatan swasta yang dimulakan oleh orang yang sama kira-kira 10 tahun lalu tetapi kemudian ditutup, memaksa kerajaan campur tangan.
Pada 29 April, Zambry mengarahkan universiti itu memberikan laporan penuh mengenai perkara itu.
Sejak itu, FMT yang beberapa kali merujuk jurucakap universiti mendedahkan bahawa ia masih belum menangani perkara itu.
FMT merahsiakan nama institusi dan ahli akademik terbabit sementara menunggu jawapan rasmi.

Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago mengingatkan orang ramai agar tidak tergesa-gesa membuat kesimpulan, sambil berkata kebankrapan mencerminkan pengambilan risiko kewangan dan perniagaan yang lemah berbanding kedudukan akademik.
Bercakap kepada FMT, Santiago berkata pelajar universiti akan mendapat manfaat jika orang itu, walaupun bankrap, mempunyai kelayakan akademik yang diperlukan dan rekod prestasi yang terbukti.
“Pihak universiti nampaknya telah melanggar syarat-syarat pekerjaan dalam kerajaan, jadi tanggungjawab mereka untuk memberikan bukti dan menjelaskan kepada orang ramai sebab mereka berbuat demikian,” katanya kepada FMT.