Menteri minta bukti dakwaan universiti tayang video aib Sanusi

Menteri minta bukti dakwaan universiti tayang video aib Sanusi

Zambry Abdul Kadir berkata langkah itu bagi membolehkan Kementerian Pendidikan Tinggi menjalankan siasatan.

zambry abdul kadir
Zambry Abdul Kadir menegaskan kementeriannya tidak membenarkan mana-mana pihak mengaibkan atau mengkritik peribadi individu dalam program rasmi melibatkan universiti. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Alor Setar Afnan Hamimi Taib Azamudden diminta mengemukakan bukti berhubung dakwaan majlis orientasi di sebuah universiti menayangkan video yang menggambarkan Menteri Besar Kedah Sanusi Nor mempunyai akhlak buruk.

Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir berkata langkah itu bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan memandangkan sehingga kini beliau tidak mempunyai sebarang maklumat berkaitan dakwaan tersebut.

“Saya tidak dimaklumkan hal berkenaan sehinggalah Afnan membangkitkan perkara itu dalam Parlimen.

“Harap beliau dapat mengemukakan bukti kepada saya bagi penyiasatan dapat dilakukan.

“Saya juga ingin mengetahui sama ada video itu dibuat universiti atau pihak luar universiti ketika menyampaikan ucapan mereka,” katanya kepada FMT.

Mengulas lanjut, Zambry menegaskan KPT tidak membenarkan mana-mana pihak mengaibkan atau mengkritik peribadi individu termasuk pemimpin dalam program rasmi yang melibatkan universiti.

“Juga tidak wajar ketika program orientasi, tindakan memburukkan peribadi atau individu dibuat secara terbuka.

“KPT akan mendapatkan laporan dari universiti terbabit,” katanya.

Dalam perbahasan di Dewan Rakyat, Afnan yang juga ketua pemuda PAS mendakwa ada video tular dalam majlis orientasi di sebuah universiti menayangkan ucapan Sanusi dengan memberi gambaran beliau mempunyai akhlak buruk.

Katanya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan penuntut universiti dan menyifatkannya sebagai tindakan politik kuno dan lapuk.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.