Denmark cadang larang burqa, niqab di sekolah, universiti

Denmark cadang larang burqa, niqab di sekolah, universiti

Kerajaan berkata rang undang‑undang itu menyokong gadis dan wanita daripada latar belakang imigran dalam perjuangan mereka menentang budaya kehormatan serta norma lapuk.

Denmark melarang pemakaian penutup muka penuh seperti burqa dan niqab di tempat awam pada Ogos 2018, dengan individu melanggar larangan itu akan didenda. (Gambar EPA Images)
COPENHAGEN:
Kerajaan Denmark bercadang memperluaskan larangan pemakaian penutup muka penuh di tempat awam ke sekolah dan universiti.

“Burqa, niqab atau pakaian lain yang menutup muka tiada tempat dalam bilik darjah Denmark.

“Sudah ada larangan penutup muka di tempat awam dan sudah tentu ini juga perlu dilaksanakan di institusi pendidikan,” kata Menteri Imigresen dan Integrasi, Rasmus Stoklund dalam kenyataan.

Pada Ogos 2018, Denmark melarang pemakaian penutup muka penuh seperti burqa dan niqab di tempat awam, dengan individu melanggar larangan itu akan didenda.

Aktivis hak asasi manusia dan kumpulan agama mengkritik larangan itu sebagai diskriminasi, selain melanggar kebebasan beragama dan memilih wanita.

Tetapi, penyokong berhujah larangan itu membantu umat Islam daripada latar belakang imigran lebih mudah berintegrasi dalam masyarakat Denmark.

“Dengan rang undang-undang ini, kami menghantar isyarat sangat jelas kepada gadis dan wanita, khususnya daripada latar belakang imigran bahawa kami menyokong mereka dalam perjuangan menentang budaya kehormatan dan norma lapuk,” kata Stoklund.

Jurucakap Parti Liberal (Venstre), Hans Andersen, berhujah “tidak sesuai dengan budaya Denmark apabila gadis dan wanita dengan muka ditutup sepenuhnya dalam bilik darjah sehingga guru tidak dapat melihat wajah mereka”.

Rang undang-undang itu dijadual dibentangkan di Parlimen Februari depan.

Pada 11 Dis lalu, Parlimen Austria meluluskan undang-undang melarang pemakaian tudung di sekolah bagi kanak-kanak perempuan berumur 14 tahun ke bawah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.