
Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, amanat pertama adalah menjadikan penghayatan sunnah sebagai teras segala gerak universiti, diikuti kedua melahirkan insan berilmu, berakhlak dan beradab.
Amanat ketiga menjadikan UniSIRAJ sebagai institusi rujukan Islam pelbagai disiplin ilmu dan keempat memperkukuh penyelidikan dan inovasi berteraskan nilai Islam.
Manakala, amanat kelima memperkukuh peranan UniSIRAJ dalam pembinaan tamadun serta kemanusiaan sejagat.
“Lima amanat ini hendaklah dijadikan panduan dan pedoman dalam seluruh perjalanan universiti ini. Apabila ketiga-tiga asas ini bersatu iaitu sunnah, ilmu dan amanah maka akan lahirlah generasi yang bukan sahaja cemerlang ilmunya, tetapi juga luhur akhlaknya.
“Dengan izin dan inayah Allah SWT, UniSIRAJ akan terus tumbuh sebagai mercu ilmu, pusat hikmah dan cahaya tamadun baharu bagi negeri Perlis – tempat ‘di sini pencinta sunnah dilahirkan’,” titah baginda.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah ketika memasyhurkan UniSIRAJ sebagai mercu ilmu dan cahaya baharu Perlis di Dewan 2020, Kangar, malam tadi.
Turut berangkat Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga canselor UniSIRAJ dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Baginda bertitah, dalam dunia sarat dengan pertembungan ideologi dan kekosongan rohani, UniSIRAJ mesti tampil membawa makna sebenar ‘rahmatan lil alamin’ dengan menjadi jambatan antara dunia Islam dan masyarakat antarabangsa, menyebarkan mesej kasih sayang, perdamaian, serta tanggungjawab kemanusidan melalui ilmu dan amal.
UniSIRAJ dikenali sebagai Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) sebelum dinaik taraf menjadi universiti dan pada 23 Nov tahun lalu.
Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga canselor KUIPs bertitah Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) melalui surat bertarikh 15 Nov 2024 meluluskan pendaftaran untuk dinaik taraf sebagai universiti.
Pada majlis pemasyhuran UniSIRAJ itu juga, Muhamad Rozaimi Ramle yang sebelum ini rektor KUIPs diumumkan sebagai naib canselor pertama universiti itu.