Tekanan kos sara hidup mahasiswa bukan isu sampingan

Tekanan kos sara hidup mahasiswa bukan isu sampingan

Kebajikan pelajar kini menjadi penentu keupayaan menuntut ilmu dengan bermaruah.

universiti

Bayangkan seorang mahasiswa membuka peti sejuk kampus dan hanya menemui nasi putih dan telur. Bukan kerana malas memasak, tetapi kerana bajet bulanan sudah melebihi kemampuan, ditambah kos sewa bilik dan perbelanjaan harian yang semakin mencengkam.

Inilah realiti dihadapi ramai mahasiswa hari ini iaitu tekanan kos sara hidup yang tidak dapat diabaikan lagi. Kebajikan bukan isu sampingan.

Ia bukan sekadar pelengkap kecemerlangan akademik atau slogan dalam pelan strategik universiti, sebaliknya menjadi tunjang utama menentukan keupayaan seorang mahasiswa menuntut ilmu dengan bermaruah.

Realiti hari ini menunjukkan tekanan kos sara hidup bukan lagi bersifat sementara. Kenaikan harga makanan, kos perumahan, pengangkutan dan keperluan asas memberi kesan langsung kepada kehidupan mahasiswa, khususnya mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.

Apabila tekanan ini dibiarkan tanpa intervensi berkesan, ia akhirnya menjejaskan prestasi akademik, kesihatan mental dan kesejahteraan emosi mahasiswa.

Kebajikan mahasiswa tidak boleh ditafsirkan secara sempit sebagai isu kewangan semata-mata.

Hakikatnya, kebajikan merangkumi aspek kesihatan mental dan emosi, perumahan yang selamat dan mampu milik, akses kepada makanan berkhasiat pada harga berpatutan, serta kemudahan dan fasiliti kampus yang menyokong pembelajaran dan kehidupan seharian.

Mahasiswa yang terpaksa mengikat perut demi berjimat, menangguhkan rawatan kesihatan mental kerana sukar mendapatkan akses, atau hidup dalam kebimbangan memikirkan bayaran sewa dan komitmen harian, sedang berhadapan dengan krisis kebajikan yang nyata.

Dalam menangani cabaran ini, peranan kepimpinan mahasiswa perlu dinilai secara jujur dan kritikal. Kepimpinan mahasiswa tidak seharusnya terhad kepada penganjuran program atau aktiviti bersifat simbolik semata-mata.

Lebih daripada itu, mereka perlu berfungsi sebagai penghubung yang efektif antara mahasiswa dan pihak pengurusan universiti, memperjuangkan isu kebajikan secara konsisten dan berfakta.

Kepimpinan mahasiswa juga perlu peka terhadap suara mahasiswa marhaen dimana golongan yang sering terpinggir dalam wacana rasmi.

Keberanian untuk menjadi suara mahasiswa, menyampaikan realiti sebenar di lapangan dan mencadangkan penyelesaian yang praktikal adalah ukuran sebenar kepimpinan, bukan sekadar bilangan program yang dianjurkan.

Institusi pendidikan tinggi pula tidak boleh hanya bergantung kepada dasar sedia ada tanpa penilaian semula. Apa yang diperlukan ialah dasar kebajikan proaktif, responsif terhadap perubahan kos sara hidup dan realiti semasa mahasiswa.

Sistem aduan perlu direka agar supaya pengguna, telus dan tidak membebankan mahasiswa dengan prosedur yang berlapik birokrasi.

Fleksibiliti terhadap mahasiswa yang menghadapi masalah kewangan juga perlu diperkukuhkan, termasuk menyediakan akses sokongan psikologi yang mudah, cepat dan tidak menstigmakan.

Tekanan kewangan dan tekanan mental seringkali berjalan seiring, dan kegagalan menangani kedua-duanya secara holistik hanya akan memburukkan keadaan.

Namun realitinya, jurang antara dasar dan pelaksanaan masih ketara. Banyak dasar kebajikan wujud di atas kertas, tetapi pelaksanaannya lemah dan tidak menyeluruh.

Bantuan memang tersedia, namun proses permohonan panjang, syarat ketat serta tempoh menunggu tidak munasabah akhirnya menyukarkan mahasiswa yang benar-benar memerlukan bantuan segera.

Keadaan ini mendorong sebahagian mahasiswa terjerumus dalam kitaran hutang.

Berdasarkan pemerhatian dan laporan Bank Negara Malaysia, golongan muda termasuk mahasiswa dan lepasan universiti semakin terdedah kepada beban hutang awal akibat tekanan kos sara hidup dan kekangan pendapatan. Fenomena ini bukan sekadar isu kewangan, tetapi cerminan kegagalan sistem sokongan yang sepatutnya melindungi generasi terdidik negara.

Sebagai usaha memperjuangkan kebajikan mahasiswa, antara inisiatif yang wajar diperkasakan ialah penyediaan makanan pada harga lebih mampu milik, khususnya di kafe dalam kampus seperti di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Pelaksanaan Menu Rahmah perlu diperluas dan dipelbagaikan agar benar-benar memberi kesan langsung kepada perbelanjaan harian mahasiswa, bukan sekadar inisiatif bermusim.

Selain itu, cadangan mewujudkan Skim Bantuan Deposit Rumah Sewa Siswa juga wajar diberi perhatian serius.

Kos deposit sewaan sering menjadi halangan besar kepada mahasiswa, dan skim ini bukan sahaja dapat meringankan beban kewangan awal, malah memberi kestabilan tempat tinggal yang penting untuk kesejahteraan emosi dan tumpuan akademik.

Kebajikan mahasiswa tidak boleh ditangguhkan atas alasan kekangan atau prosedur. Dalam suasana kos sara hidup yang semakin menekan, persoalan yang perlu dijawab bukan lagi sama ada kebajikan mahasiswa penting, tetapi sejauh mana semua pihak benar-benar komited untuk mempertahankannya.

Mahasiswa bukan beban sistem, sebaliknya aset masa depan negara yang wajar dilindungi dengan dasar berani dan tindakan berkesan.

 

Muhammad Danish Suhailey adalah naib yang dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.