Campur tangan politik berleluasa di universiti, dakwa ahli akademik

Campur tangan politik berleluasa di universiti, dakwa ahli akademik

Sharifah Munirah Alatas berkata tekanan politik menyebabkan pelajar dan ahli akademik takut terlibat dalam perbincangan mengenai isu nasional dan kemasyarakatan.

Photo Himpunan Lawan Rasuah
Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) menyekat kebebasan akademik apabila pensyarah dan pelajar tidak diberi ruang untuk bersuara mengenai isu-isu masyarakat yang sensitif, kata seorang sarjana.
PETALING JAYA:
Campur tangan politik dikatakan masih berleluasa di kampus universiti di Malaysia sehingga mengekang kebebasan dan autonomi akademik, menurut sarjana bebas Sharifah Munirah Alatas.

Beliau mendakwa wujud rasa takut dan keengganan dalam kalangan pelajar untuk menyertai dialog berkaitan isu negara dan masyarakat akibat tekanan politik.

“Politik sepatutnya tidak ada tempat dalam pendidikan universiti kerana ia membantutkan pemikiran kreatif dan kritis.

“Masalah ini jelas berlaku di universiti awam, khususnya di peringkat pengurusan, apabila faktor politik menentukan siapa dilantik menerajui universiti,” katanya bercakap pada satu forum di sini.

Menurutnya, amat sukar untuk bersuara menentang sistem yang terlalu dipengaruhi politik kerana mereka yang lantang akan berdepan akibat tertentu.

Munirah berkata demikian ketika pelancaran buku Ivory Tower Reform: A Vision for Higher Education in Malaysia, yang disuntingnya, pada 13 Dis lalu.

Beliau turut menyatakan undang-undang seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku) menyekat kebebasan akademik kerana tidak menyediakan saluran selamat kepada pensyarah dan pelajar membincangkan isu-isu masyarakat yang sensitif.

Seorang lagi ahli akademik, Sarah Wijesinghe, berkata penindasan terhadap kebebasan akademik bukan sahaja berlaku di universiti awam, malah turut wujud di premis swasta.

Katanya, pelajar yang peka terhadap isu politik dan ingin bersuara sering memilih untuk berdiam diri kerana tiada ruang dialog yang dibenarkan dalam sistem universiti.

“Jika topik perbincangan tidak selari dengan apa yang diterima oleh pihak pengurusan, dialog itu tidak akan diluluskan. Itulah realiti saya lihat,” katanya.

Lantik politik di universiti

Munirah menegaskan autonomi universiti bukan sekadar kebebasan akademik, tetapi juga kebebasan mengurus dan mentadbir institusi pendidikan tinggi, sesuatu yang masih belum wujud di Malaysia berikutan amalan pelantikan berunsur politik.

Beliau melahirkan kekecewaan terhadap kurangnya kesungguhan politik untuk memisahkan pengaruh politik daripada sistem pendidikan tinggi awam negara.

Namun, katanya, perbincangan dan tekanan berterusan perlu diteruskan kerana perubahan mungkin berlaku pada akhirnya.

Keperluan menamatkan pelantikan politik di universiti turut disuarakan oleh bekas timbalan menteri pengajian tinggi, Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah.

April lalu, sebelum ini memberitahu FMT penghapusan pelantikan politik dalam lembaga universiti mampu meningkatkan daya tarikan universiti tempatan kepada sarjana terkemuka antarabangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.