
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata, lelaki warga tempatan itu diberkas di sekitar kawasan Bandar Baru Bangi, semalam.
“Suspek berumur 30-an itu ditahan sekitar lewat petang Isnin dan akan dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya untuk proses reman,” katanya, menurut Sinar Harian.
Sebelum itu, seorang lelaki ditahan di Pandan Indah, Ampang berhubung kejadian terbabit.
Lelaki berusia lingkungan 20-an itu direman dua hari sehingga siasatan lanjut selain bagi mengenal pasti motif kejadian.
Dalam kejadian itu, pemain Harimau Malaya yang juga penjaring gol tercantik Piala Asia itu dihampiri dua individu bermotosikal sebelum bertindak menyimbah asid kepadanya.
Kejadian menyebabkan beliau mengalami lecur di beberapa bahagian badan, iaitu sekitar leher, bahu, lengan dan dada.
Faisal kemudian dikejarkan ke sebuah hospital swasta di Petaling Jaya dan dilaporkan mengalami kelecuran tahap empat.
Sementara itu, Faisal difahamkan berada dalam keadaan kritikal selepas menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta semalam.
Menurut Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Shahril Mokhtar yang mengesahkan perkara itu, hanya beliau dan isteri Faisal dibenarkan melawat buat masa ini, lapor Berita Harian.
Shahril menambah, akibat kecederaan dialaminya, tangan kiri pemain sayap itu sukar bergerak, sekali gus menimbulkan persoalan tentang masa depan kerjayanya.