Bolehkah seorang bankrap pimpin jabatan fakulti perubatan, tanya warganet

Bolehkah seorang bankrap pimpin jabatan fakulti perubatan, tanya warganet

Warganet dakwa ahli akademik berkenaan memulakan sebuah universiti perubatan 10 tahun lalu, yang ditutup dan perlu campur tangan kerajaan.

Semakan di Jabatan Insolvensi Malaysia pada Khamis mengesahkan ahli akademik itu diisytiharkan bankrap pada 2014 dan belum dilepaskan (undischarged).
PETALING JAYA:
Satu temu bual oleh seorang ahli akademik kanan kepada sebuah laman berita mendorong warganet bertanya bagaimana seseorang yang diisytiharkan bankrap 10 tahun lalu dibenarkan memegang jawatan tinggi di sebuah universiti awam.

Semakan di Jabatan Insolvensi Malaysia mengesahkan ahli akademik itu diisytiharkan bankrap pada 2014 dan setakat Khamis lepas masih belum dilepaskan (undischarged).

Dalam mesej kepada FMT, seorang jurucakap bagi universiti berkenaan memaklumkan siasatan sedang dijalankan dan pengumuman akan dibuat pada Isnin.

Beberapa warganet mendakwa mereka mendaftar di sebuah universiti perubatan swasta yang dimulakan oleh individu berkenaan kira-kira 10 tahun lalu, yang kemudiannya ditutup, dan kerajaan terpaksa campur tangan.

Satu catatan mendakwa penutupan itu menyebabkan sebilangan pelajar gagal menamatkan pengajian, menyebabkan mereka terpaksa meninggalkan universiti itu dan mengambil kursus-kursus lain.

Seorang lagi warganet mendakwa mengalami kerugian dan masih belum pulih, serta terkejut bagaimana ahli akademik itu dibenarkan memimpin sebuah jabatan penting di bawah fakulti perubatan yang melahirkan doktor dan pakar perubatan.

Katanya lagi, ramai kakitangan universiti swasta itu menderita akibat penutupan itu, kerana kehilangan pekerjaan.

Seorang mangsa dalam catatannya menulis universiti itu, di mana ahli akademik itu merupakan pemilik dan presidennya, menasihatkan pelajar membuat pinjaman bank dan berjanji mereka akan diberikan biasiswa.

“Kami juga buat pinjaman PTPTN, dan apabila ia (universiti) ditutup, kami hilang segala-galanya. Kami masih bayar balik pinjaman.”

“Kerajaan campur tangan untuk hantar kami ke universiti lain tetapi kami terpaksa mula semula selepas empat tahun belajar dan perlu bayar yuran baharu,” katanya di Facebook.

Satu lagi catatan mendakwa kira-kira 100 pelajar ditinggalkan semasa dalam kesusahan apabila ahli akademik berkenaan ‘hilang’.

Ahli akademik itu juga terlibat apabila sekumpulan sarjana Mara mengalami kesukaran apabila yuran yang terhutang kepada sebuah kolej perubatan Indonesia tidak dijelaskan, menurut seorang pengguna Facebook.

“Sekali lagi kerajaan terpaksa campur tangan selesaikan hal itu untuk selamatkan masa depan pelajar-pelajar.”

FMT menghubungi ahli akademik itu pada Rabu lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.