
Beliau berkata UPU yang mula diperkenalkan pada 1972 sudah melalui pelbagai penjenamaan semula dan terbukti sebagai sistem yang ‘telah diuji dan berkesan’.
“Dari segi kriteria paling mustahak iaitu integriti dan berasaskan merit, ia tidak wajar diragui,” kata Ahli Parlimen Indera Mahkota itu kepada FMT.
Saifuddin mengulas kontroversi melibatkan pelajar cemerlang Edward Wong yang memperoleh CGPA 4.0 serta 99.9% kokurikulum namun gagal mendapat tempat di kursus perakaunan Universiti Malaya (UM) yang menjadi pilihan utamanya.
Bagaimanapun, Jabatan Pendidikan Tinggi menjelaskan Wong menduduki tangga ke-1,129 daripada 2,291 pemohon layak ke UM, sedangkan hanya 85 tempat disediakan untuk kursus perakaunan.
Kes Wong turut menarik perhatian Presiden MCA Wee Ka Siong yang menyifatkan proses di bawa UPU ‘cacat’ dan ‘tidak adil, selain mencetuskan tuduhan berkait perkauman.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata kegagalan Wong mungkin berpunca daripada beberapa faktor termasuk tidak mengambil subjek tertentu yang menjadi syarat penting bagi kursus perakaunan, seperti matematik.
Wong memperoleh gred A dalam pengajian am, ekonomi, perakaunan dan ICT.
“Walaupun beliau mendapat keputusan cemerlang STPM, peluang masuk ke universiti awam atau UM tidak bergantung kepada akademik semata-mata,” katanya.
Menurutnya, penilaian kemasukan dibuat berdasarkan akademik (90%) dan kokurikulum (10%).
“Mugkin markah kokurikulumnya tidak 100% berbanding ramai calon lain yang dapat markah tertinggi itu,” katanya.
Saifuddin turut menjelaskan nisbah 90:10 itu bertujuan memastikan pembangunan pelajar lebih holistik. “Malah saya pernah cadangkan supaya markah kokurikulum dinaikkan kepada 30%,” katanya.