Kumpulan cadang sediakan ejen dipercayai bantu penginapan pelajar

Kumpulan cadang sediakan ejen dipercayai bantu penginapan pelajar

Kumpulan pelajar saran universiti bantu tapis ejen perumahan, agar pelajar boleh mendapatkan rumah yang sesuai dan murah.

university
Kumpulan pelajar cadang sistem merit, dan ketelusan dalam proses pengagihan penginapan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kumpulan pelajar mencadangkan universiti bekerjasama dengan ejen perumahan dipercayai bagi membantu pelajar yang gagal peroleh penginapan di kampus.

Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) mencadangkan perkara itu selepas mengambil kira input daripada golongan pelajar yang bimbang ditipu ketika mencari rumah sewa, berlatarkan kekurangan penginapan di kampus, selain isu deposit rumah sewa yang mahal dan utiliti.

Menjelaskan situasi penginapan di kampus, Presiden Tang Yi Ze mengambil contoh Universiti Malaya, mengatakan kolej kediaman boleh menampung antara 12,300 dan 12,500 orang, berbanding 22,498 siswa, menurut respons pihak hal ehwal pelajar.

“Ini menunjukkan akan ada banyak mahasiswa yang tidak dapat tinggal dalam Kolej Kediaman di dalam kampus,” katanya kepada FMT.

Tang menyarankan universiti bekerjasama dengan ejen perumahan untuk mendapatkan rumah yang sesuai dan murah bagi pelajar.

“Kami takut berjumpa dengan ‘scammer’. Pihak universiti boleh membantu untuk menapis ejen yang tidak boleh dipercayai dan mendapatkan sewa rumah yang lebih murah,” katanya.

Beliau juga mencadangkan subsidi khas bagi pelajar yang tinggal di luar kampus untuk membantu mereka menanggung kos sara hidup yang tinggi.

Kelmarin, Ahli Parlimen V Ganabatirau menggesa kerajaan memperluaskan kapasiti penginapan di universiti awam bagi mengelak terlalu ramai pelajar terpaksa menyewa kerana penginapan di kampus penuh.

Wakil rakyat Klang itu menyeru agar sebahagian daripada dana pembangunan RM3.9 bilion bagi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) digunakan untuk meningkatkan kapasiti asrama.

Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUMSU) menyeru KPT sediakan pelan lanjutan tuntas bagi menambah kapasiti penginapan di universiti awam.

Presiden Ali Karimi Nasri berkata pelajar perlu mendapat peluang yang sama untuk menetap di kampus, “tanpa perlu berlumba atau diumpan dengan menyertai program-program tertentu.”

“Kewajipan universiti adalah menyediakan dan menggalakkan, bukan mewajibkan semua tinggal di dalam. Ada yang mungkin tinggal berdekatan dan mempunyai pengangkutan untuk ke kampus,” katanya.

Ketika IIUMSU membangkitkan kebimbangan terhadap cadangan sistem merit universiti bagi mengutamakan pelajar yang layak untuk tinggal dalam kampus, Umany menyeru ketelusan dalam proses pengagihan penginapan agar siswa yakin ia berdasarkan merit dan latar belakang B40.

“Pihak pengurusan juga patut mengemukakan kriteria untuk dapatkan Kolej Kediaman dari awal semester,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.