
Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, sistem kemasukan universiti sedia ada yang terpecah menjadi antara punca utama timbulnya kontroversi berulang saban tahun berhubung isu kemasukan pelajar.
Katanya, kerajaan ada membincangkan cadangan agar kedua-dua laluan ini disatukan di bawah KPT, yang menurutnya lebih memahami keperluan institusi pengajian tinggi serta pelajarnya.
“Penyatuan kedua-dua laluan di bawah KPT juga akan membuka jalan kepada pembentukan satu sistem tunggal kemasukan universiti yang telus, adil, dan bertanggungjawab,” katanya dalam hantaran di X.
Bekas menteri sumber asli dan kelestarian alam itu juga mencadangkan pewujudan sebuah simulator untuk pemohon universiti awam menyemak peluang kemasukan berdasarkan keputusan mereka, yang akan memberi pemahaman lebih jelas mengenai sistem kemasukan.
“Perlu ada proses yang telus bagi pelajar dan ibu bapa memahami sistem kemasukan universiti,” katanya.
Jumaat lepas, Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) menggesa agar program matrikulasi digantikan dengan STPM sebagai satu-satunya standard kemasukan universiti.
Presidennya, Tang Yi Ze berkata, silibus STPM lebih baik kerana lebih mencabar serta diiktiraf pada peringkat antarabangsa.
Bagaimanapun, UM mempertahankan program matrikulasi dengan Naib Canselor Noor Azuan Abu Osman menyifatkan ia memainkan peranan utama sebagai sistem pendidikan komprehensif yang memberi akses pengajian tinggi kepada pelajar daripada pelbagai latar belakang.
Susulan itu, Umany pada Sabtu menjelaskan pihaknya tidak berniat menggesa agar program matrikulasi ‘dimansuhkan’, sebaliknya mencadangkan program itu digabungkan dengan STPM sebagai kelayakan tunggal kemasukan ke universiti.
Kumpulan mahasiswa itu mengakui penggunaan perkataan ‘mansuh’ dalam kenyataannya sebelum itu menimbulkan kekeliruan dan menyinggung sesetengah pihak.
Jelasnya lagi, gesaan untuk sistem bersepadu itu bukan bersifat perkauman, sebaliknya bertujuan menambah baik sistem sedia ada supaya lebih telus dan adil.
Umany pada Jumaat telah menyerahkan memorandum kepada KPT mengenai cara menangani isu kuota kemasukan pelajar, susulan kontroversi seorang pelajar cemerlang STPM yang gagal mendapat tempat dalam jurusan perakaunan UM.