Ahli Parlimen gesa bina banyak hostel, elak pelajar universiti sewa rumah

Ahli Parlimen gesa bina banyak hostel, elak pelajar universiti sewa rumah

Ahli Parlimen Klang V Ganabatirau berkata keadaan itu menyebabkan kos sara hidup pelajar meningkat dan membebankan keluarga mereka.

V Ganabatirau
Ahli Parlimen V Ganabatirau berkata mengurangkan kos sara hidup pelajar adalah sama seperti memberikan mereka bantuan lain seperti biasiswa.
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen menggesa kerajaan untuk memperluaskan kapasiti penginapan di universiti awam, bagi mengelak terlalu ramai pelajar terpaksa menyewa kerana penginapan di kampus penuh.

V Ganabatirau (PH-Klang) berkata keadaan itu menyebabkan kos sara hidup pelajar meningkat dan membebankan keluarga mereka kerana perlu membayar sewa RM300 hingga RM800 sebulan untuk penginapan luar kampus.

“Saya menyeru agar sebahagian daripada dana pembangunan RM3.9 bilion di bawah belanjawan Kementerian Pengajian Tinggi digunakan untuk meningkatkan kapasiti asrama, supaya dalam jangka masa panjang, tiada pelajar universiti awam perlu tinggal di luar kampus,” katanya di Dewan Rakyat.

Ganabatirau berkata mengurangkan kos sara hidup pelajar adalah sama seperti memberikan mereka bantuan lain seperti biasiswa.

Sementara itu, Ganabatirau turut menggesa kementerian untuk membangunkan sistem digital masa nyata yang menunjukkan syarat kemasukan dan ranking pemohon bagi setiap kursus universiti awam. Beliau mencadangkan sebahagian daripada peruntukan RM3.9 bilion itu digunakan untuk projek itu.

Beliau juga menyuarakan kebimbangan mengenai latihan amali tanpa gaji atau bergaji rendah, dengan berkata ada pelatih bekerja sepenuh masa tetapi hanya memperoleh RM500 atau tiada gaji langsung.

Ganabatirau mencadangkan elaun minimum sebanyak RM1,000 hingga RM1,200, atau kadar yang setara dengan gaji minimum baharu iaitu sebanyak RM1,700.

Beliau juga menggesa kerajaan menyokong kerjasama antara institusi awam dan swasta serta mempertimbangkan untuk memberikan pelepasan cukai penuh kepada ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke kolej atau universiti swasta selepas gagal mendapat tempat di universiti awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.