27,674 pelajar baharu UA, politeknik ditawar wang pendahuluan pinjaman PTPTN

27,674 pelajar baharu UA, politeknik ditawar wang pendahuluan pinjaman PTPTN

Pengerusi PTPTN Norliza Abdul Rahim berkata pemberian wang pendahuluan bertujuan meringankan beban kewangan dan menjaga kebajikan pelajar.

Norliza Abdul Rahim
Pengerusi PTPTN Norliza Abdul Rahim (dua dari kanan) ketika sesi ziarah ke rumah dan menyerahkan surat tawaran WPP kepada pelajar di Bukit Gelugor, Pulau Pinang. (Gambar PTPTN)
PETALING JAYA:
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menawarkan wang pendahuluan pinjaman (WPP) RM1,500 kepada 27,674 pelajar baharu yang layak sebagai persiapan awal memasuki Universiti Awam (UA) dan Politeknik untuk sesi Oktober ini.

Pengerusi PTPTN Norliza Abdul Rahim berkata pemberian wang pendahuluan membabitkan peruntukan RM41.5 juta itu bertujuan meringankan beban kewangan dan menjaga kebajikan pelajar terutama golongan berpendapatan rendah.

Katanya, PTPTN sentiasa mengambil berat tentang kebajikan pelajar, khususnya ketika mereka memulakan pengajian ke menara gading.

“Kemudahan WPP yang disediakan ini adalah bukti keprihatinan kerajaan melalui PTPTN dalam membantu meringankan beban kewangan pelajar di peringkat awal pengajian.

“Kami mahu setiap pelajar dapat memulakan sesi pengajian mereka dengan lebih yakin dan selesa serta tanpa perlu bimbang terhadap kos pengajian,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Norliza menyantuni pelajar yang ditawarkan WPP melalui sesi ziarah rumah ke rumah pelajar di kawasan Bukit Gelugor, Pulau Pinang.

Katanya, di Pulau Pinang, seramai 1,380 pelajar ditawarkan WPP dengan peruntukan berjumlah RM2.07 juta, manakala, bagi kawasan Bukit Gelugor pula, melibatkan seramai 88 pelajar dengan peruntukan RM132,000.

Hanya pelajar yang menyatakan persetujuan menerima WPP semasa permohonan kemasukan menerusi UPUOnline serta mempunyai ibu bapa atau penjaga yang merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) layak menerima bantuan itu.

Pelajar boleh membuat semakan tawaran WPP melalui aplikasi myPTPTN dan boleh menunaikan WPP tersebut di kaunter Bank Islam Malaysia di seluruh negara mulai 24 Sept dengan membawa surat tawaran yang dicetak melalui aplikasi myPTPTN dan juga MyKad.

Tempoh sah laku WPP adalah selama dua bulan iaitu mulai 24 Sept hingga 23 Nov 2025.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.