
Presiden Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany), Tang Yi Ze, berkata kerajaan tidak sepatutnya memberi kuasa kepada menteri untuk melantik naib canselor, sebaliknya menyerahkan proses itu kepada badan berkanun atau jawatankuasa bebas daripada pengaruh politik.
Beliau memberi contoh amalan baik di beberapa negara lain apabila universiti diberikan kebebasan dan kuasa untuk memilih presiden mereka sendiri.
“Model seperti di United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) boleh dicontohi.
“Perancis pula memberi kuasa kepada pakar akademik dalam universiti untuk bertanding dan mengundi presiden universiti mereka,” katanya sambil menambah kajian menyeluruh perlu dilakukan bagi memastikan universiti awam benar-benar bebas daripada campur tangan politik.
Tang mengulas pandangan sarjana bebas, Sharifah Munirah Alatas, yang mendakwa campur tangan politik masih berleluasa di kampus sehingga mengekang kebebasan serta autonomi akademik.
Minggu lalu, beliau dilaporkan berkata, wujud rasa takut dan keengganan dalam kalangan pelajar untuk menyertai dialog berkaitan isu negara dan masyarakat susulan tekanan politik.
Sharifah Munirah turut berpandangan undang-undang seperti Auku menyekat kebebasan akademik kerana gagal menyediakan saluran selamat untuk perbincangan isu sensitif.
Dalam pada itu, Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Mohammad Azamuddin Sahar, berkata campur tangan politik dalam universiti bukan isu baharu dan tekanan berterusan perlu dilakukan terhadap Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) supaya menghentikan amalan terbabit.
Katanya, universiti sepatutnya menjadi ruang intelektualisme yang bebas untuk pelajar menyuarakan idea dan pandangan mereka.
“Universiti adalah milik pelajar, bukan milik orang politik. Pelajar bukan buah catur yang dikawal sepenuhnya untuk memenuhi kepentingan politik peribadi.
“Pada masa sama, rombakan Kabinet melibatkan KPT yang melantik Adam Adli sebagai timbalan menteri baharu boleh dijadikan batu loncatan untuk membendung budaya itu berikutan latar belakangnya sebagai aktivis mahasiswa sebelum ini,” katanya.