
Hakim Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas menolak rayuan R Poobalan, 40, untuk mengetepikan hukuman dan sabitan yang diputuskan Mahkamah Sesyen pada 8 Mac 2022.
Mahkamah membenarkan permohonan peguam Adi Zulkarnain Zulkafli mewakili Poobalan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman terhadap anak guamnya sementara menunggu pelupusan rayuan di Mahkamah Rayuan selain melanjutkan jaminan RM150,000 seperti diputuskan Mahkamah Sesyen sebelum ini.
Jamil turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya Poobalan melaporkan diri setiap 1 dan 15 haribulan di IPD Seremban dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Pada 9 Mac 2022, Poobalan memfailkan rayuan terhadap hukuman dan sabitan dijatuhkan Hakim Sabariah Othman yang mendapati dia bersalah atas pertuduhan berkenaan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norashikin Ibrahim membantah penangguhan pelaksanaan hukuman ke atas Poobalan dan memohon wang jaminan dinaikkan kepada RM200,000 dengan syarat tambahan.
Poobalan didakwa menipu Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Berhad supaya mempercayai dia mengalami penyakit strok sehingga mendorong ia membayar tuntutan berjumlah RM1.013 juta.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Berhad Jalan Ampang di sini pada 19 Mei 2016, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Dalam penghakimannya, Jamil berkata mahkamah bersetuju dengan dapatan hakim bicara bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan setiap elemen kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang mana perayu memperdayakan Great Eastern.