
Harian Metro melaporkan Mohd Fazli Aziz, 36, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Nurshahida Abdul Rahim.
Pekerja rencam itu didapati mengedar dadah syabu seberat 528,000g di kawasan semak Hutan Simpan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Hutan Simpan Mata Ayer Perlis Utara, Padang Besar pada 4 pagi 10 Jan lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama.
Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh kerana kes itu tidak boleh diberikan jaminan dan mahkamah menetapkan 22 Mac ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.
Pada 15 Jan lalu, polis melumpuhkan sindiket pengedaran dadah terbesar di Perlis menggunakan kawasan Hutan Simpan Persekutuan FRIM sebagai lokasi transit selepas merampas 528kg syabu bernilai RM19 juta.