
Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Fauzi Abdul Latiff, 31, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan dan memerintahkan hukuman penjara tujuh bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Fauzi, pemilik syarikat MEL & Associates Enterprise (ketika kejadian) menggunakan dokumen palsu sebagai tulen bagi Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja dalam Program Penjana Kerjaya 2.0, yang mana tertuduh mengetahui dokumen itu adalah palsu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pada 23 April 2021.
Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, mahkamah memutuskan menerima representasi sebagai “Take Into Consideration” (TIC) terhadap tiga lagi pertuduhan berkaitan yang dikemukakan peguam Mohamed Musthafa ke atas anak guamnya mengikut 171A Kanun Tatacara Jenayah.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Azriff Firdaus Mohammad Ali memohon hukuman setimpal sebagai memberi pengajaran dan keinsafan terhadap tertuduh selain mengambil kira faktor kepentingan awam.
Bagaimanapun, Mohamed memohon denda minimum dengan alasan anak guamnya menanggung keluarga serta ibu bapanya yang uzur.