Anwar cenderung elak rayu kes 40% hasil Sabah

Anwar cenderung elak rayu kes 40% hasil Sabah

Perdana menteri berkata beliau secara peribadi cenderung mahu kerajaan tidak teruskan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

anwar ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam majlis di Tawau hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim secara peribadi cenderung mahu kerajaan tidak meneruskan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengenai hak Sabah terhadap 40% hasil persekutuan.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata, kerajaan persekutuan akan memuktamadkan pendirian berhubung rayuan itu minggu ini, selepas mendengar pandangan peguam negara dan Jemaah Menteri.

“Kita dah bincang dalam mesyuarat Jemaah Menteri (minggu lalu), dan kita akan muktamadkan minggu ini setelah mendengar peguam negara dan Jemaah Menteri.

“Pandangan peribadi saya cenderung untuk elak daripada merayu, itu sudah saya jelaskan. Jadi, itu terpulang kepada keputusan mereka,” katanya dalam satu majlis di Tawau hari ini.

Beliau dijangka mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri esok. Mesyuarat itu dijangka turut membincangkan peletakan jawatan Presiden Upko Ewon Benedick sebagai menteri persekutuan.

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Okt lalu memutuskan kerajaan persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40% hasil persekutuan selama hampir lima dekad.

Hakim Celestina Stuel Galid mengisytiharkan pemberian khas yang dibuat antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri adalah ‘tidak sah, ultra vires dan tidak rasional,’ serta melanggar Perlembagaan.

Jumaat lalu, Majlis Presiden GRS berkata kerajaan negeri bersedia untuk mengadakan rundingan bermakna dengan kerajaan persekutuan selaras perintah mahkamah bagi melaksanakan semakan dan memuktamadkan perjanjian mengenai jumlah yang sewajarnya diterima oleh Sabah.

“Kami menggesa perdana menteri dan kerajaan persekutuan tidak merayu keputusan tersebut. Mahkamah tidak mengenakan sebarang penalti kewangan — sebaliknya hanya mengarahkan supaya semakan perlembagaan yang tertangguh sekian lama dilaksanakan selaras Perkara 112C dan 112D,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas peletakan jawatan Ewon sebagai menteri pembangunan usahawan dan koperasi, Anwar menyifatkan tindakan itu dibuat tergesa-gesa, kemungkinan kerana tekanan pihak tertentu.

“Dia ada sampaikan maklumat tapi surat rasmi itu belum (terima)…kerana dia tahu bahawa kita belum muktamadkan. Kita kata dari segi proses biasa mana-mana peringkat penghakiman mahkamah tinggi, jika ada kelompongan, kelemahan harus ada rayuan.

“Kadangkala kerana desakan, kita panik, sebagai pemimpin dia tak boleh panik, kena dengar dan kita tahu keresahan Sabah tapi kita tahu juga perlembagaan dan prosesnya mesti melalui penghakiman.

“Jadi, saya fikir terlalu awal untuk beliau buat keputusan, tapi saya faham mungkin beliau rasa terdesak dengan ini yang mereka suarakan (rakyat di bawah).”

Anwar turut mengingatkan kempen atau desakan berhubung isu 40% hasil Sabah tidak sepatutnya digerakkan berdasarkan sentimen dan kemarahan, sebaliknya perlu berpaksikan fakta supaya tidak menjejaskan rundingan sedang berjalan.

“Sebab itu kadangkala saya kata kempen-kempen ini mesti berdasarkan fakta kalau berkempen berdasarkan sentimen bagi marah, kita tersepit,” katanya.

Kelmarin, Ewon mendedahkan beliau meletak jawatan sebagai menteri persekutuan berikutan pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) mengenai hak Sabah ke atas 40% hasil persekutuan yang diperoleh dari negeri itu.

Ewon sebelum ini menyatakan sedia melepaskan jawatan menteri jika kerajaan persekutuan merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.