
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fadhly Mohd Zamry memaklumkan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi bahawa permohonan itu dibuat semasa sebutan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nur Liyana Mohd Sulaiman.
“Permohonan kami agar persoalan undang-undang dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan didengar hakim Mahkamah Tinggi lain adalah bagi mempercepat proses pendengaran permohonan tersebut.
“Timbalan pendaftar memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi Jenayah 2 masih belum ada pengganti memandangkan Hakim K Muniandy telah menjadi hakim Mahkamah Rayuan,” katanya.
Beliau berkata, mahkamah kemudian menetapkan 21 Nov sebagai tarikh sebutan kes bagi memaklumkan status sama ada pendengaran merujuk persoalan undang-undang masih dikekalkan di Mahkamah Tinggi Jenayah 2 atau dipindahkan ke mahkamah lain.
Sehubungan itu, Fadhly memohon agar sebutan kes gagal mengisytiharkan harta di Mahkamah Sesyen ditetapkan pada tarikh sama, yang dibenarkan Azura.
Pada 21 Ogos lalu, Muniandy membenarkan permohonan Naimah selepas mendapati persoalan undang-undang dibangkitkan bukan bersifat remeh atau penyalahgunaan proses mahkamah sebagaimana diputuskan Mahkamah Sesyen sebelum ini.
Naimah memfailkan permohonan merujuk persoalan undang-undang berkaitan Seksyen 30(5), 36(2) dan 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 serta Seksyen 32(3)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001, pada 29 Feb 2024.
Namun, pada 18 Feb lalu, Azura menolak permohonan itu atas alasan ia tiada merit kerana tiada isu Perlembagaan dibangkitkan dalam kes itu.
Pada 23 Jan 2024, Naimah, balu bekas menteri kewangan, Allahyarham Daim Zainuddin, didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan gagal patuh notis mengisytiharkan asetnya termasuk Menara Ilham serta beberapa hartanah lain di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000, jika sabit kesalahan.