Perdaya JAS Johor, warga China didenda RM20,000

Perdaya JAS Johor, warga China didenda RM20,000

Pengarah syarikat itu mengaku salah memperdaya JAS Johor berhubung pembelian empat kontena bukan dilakukan syarikatnya tiga tahun lalu.

Chen Zhenlong (tengah) di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini. (Gambar SPRM Johor)
PETALING JAYA:
Mahkamah Sesyen Johor Bahru mendenda seorang pengarah syarikat RM20,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memperdaya Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor berhubung pembelian empat kontena bukan dilakukan syarikatnya tiga tahun lalu.

Sinar Harian melaporkan warga China, Chen Zhenlong, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di depan Hakim Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Pengarah Ascent Asia Industries Sdn Bhd itu didakwa bersubahat memperdaya JAS Johor bahawa syarikat kitar semula plastiknya bukan pembeli empat kontena, sebaliknya syarikat lain pada 19 Jan 2022.

Tertuduh didakwa dengan curang mendorong pengarah JAS tidak meneruskan tindakan terhadap Ascent Asia mengikut Seksyen 31(1) dan 37(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Dia didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 417 akta sama dan boleh dihukum bawah seksyen sama memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menjatuhkan denda RM20,000 dan boleh dipenjarakan tiga bulan, jika gagal membayar denda.

September lalu, Chen mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan sama dibacakan terhadapnya di depan hakim sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.