Suri rumah mengaku tak salah campak anak kucing dari tingkat 1

Suri rumah mengaku tak salah campak anak kucing dari tingkat 1

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan kerana dia tiada pendapatan.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mencampak seekor anak kucing dari tingkat satu di sebuah flat di Cheras Disember tahun lalu.

Nina Norhaslinda Mazlan, 44, didakwa melakukan perbuatan itu sehingga menyebabkan penderitaan tidak sepatutnya terhadap haiwan terbabit di depan sebuah unit flat berkenaan pada 7.35 pagi 25 Dis lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta sama yang membawa hukuman denda minimum RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kuala Lumpur, Fadzilah Abdul Karim menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berdekatan.

Nina yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan kerana dia tiada pendapatan.

Hakim Norina Zainol Abidin membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Feb sebutan kes bagi lantikan peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.