Gaduh berparang, warga asing maut disyaki ditetak

Gaduh berparang, warga asing maut disyaki ditetak

Polis berkata ada beberapa kesan tetakan dan tikaman.

Ketua Polis Penampang Sammy Newton, berkata mangsa berusia 29 tahun ditemui berlumuran darah di atas jalan. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Seorang warga asing maut dipercayai dalam pergaduhan bersenjatakan parang di hadapan lampu isyarat Bundusan di Jalan Penampang-Kota Kinabalu, awal pagi tadi.

Ketua Polis Penampang Sammy Newton, berkata polis menerima laporan kejadian pada 4.44 pagi berhubung aduan kejadian pergaduhan melibatkan beberapa individu lelaki.

Beliau berkata, mangsa seorang warga asing didapati meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati lelaki warga asing berusia 29 tahun terbaring di atas jalan dalam keadaan berlumuran darah dengan beberapa kesan tetakan dan tikaman.

“Mangsa telah dilaporkan meninggal di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth 1, Kota Kinabalu,” katanya dalam kenyataan.

Sammy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, polis meminta saksi kejadian tampil memberikan maklumat dengan menghubungi pegawai penyiasat kanan, Andi Ma’mur Halwati di talian 019-5853918.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.