
Saifuddin yang enggan mengulas bila siasatan itu akan dibuka semula berkata, beliau terlebih dahulu perlu ‘mendapatkan kejelasan menyeluruh’ laporan pasukan petugas khas mengenai kehilangan dua individu tersebut.
Pasukan petugas khas itu dibentuk kerajaan, dan laporannya yang diklasifikasikan sebagai sulit disediakan selepas siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) memutuskan bahawa Koh dan Amri adalah mangsa kehilangan paksa oleh pihak berkuasa.
“Tetapi fokus utama saya sekarang adalah keputusan mahkamah yang secara spesifik mengarahkan polis untuk bertindak (membuka semula siasatan). Itu yang sedang saya usahakan bersama polis,” katanya dalam satu sidang media.
“Mulai sekarang ia berada dalam lingkungan tanggungjawab saya untuk menentukan langkah seterusnya, kerana keputusan mahkamah mengarahkan polis melakukan dua perkara: membuka semula siasatan dan mengemukakan keberadaan Koh dan Amri,” katanya.
Katanya, beliau perlu mendapatkan maklumat yang lebih jelas dan lengkap mengenai laporan pasukan petugas khas itu sebelum membuat apa-apa keputusan.
Saifuddin sekali lagi menjelaskan bahawa kes tersebut berlaku sebelum beliau dilantik sebagai menteri, namun menegaskan itu bukan alasan untuk tidak bertindak.
Beliau juga mengakui perkara itu perlu segera dilaksanakan kerana kegagalan mematuhi perintah mahkamah boleh menyebabkan kerajaan menanggung liabiliti kewangan.
Koh diculik pada 13 Feb 2017 ketika memandu di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya. Semasa perbicaraan, mahkamah diberitahu bahawa lima lelaki bertopeng berpakaian serba hitam menariknya keluar dari kereta.
Sementara itu, Amri yang juga pengasas NGO Perlis Hope dilapor meninggalkan rumahnya kira-kira 11.30 malam 24 Nov 2016, dan keretanya ditemui di tapak pembinaan berhampiran Sekolah Sukan Bukit Cabang di Perlis pada keesokan paginya.
Minggu lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan kerajaan dan polis membayar RM37 juta kepada keluarga Koh atas penglibatan pihak berkuasa dalam penculikannya.
Kerajaan dan polis turut diperintah membayar lebih RM3 juta kepada keluarga Amri kerana gagal menjalankan siasatan sewajarnya terhadap kehilangan lelaki itu.
Beberapa hari kemudian, Saifuddin diberi taklimat oleh Jabatan Peguam Negara mengenai kes itu, dan berkata klasifikasi kes itu dan siasatan akan ditentukan selepas taklimat tersebut.