Lelaki didakwa tetak abang ipar hingga mati

Lelaki didakwa tetak abang ipar hingga mati

Tertuduh Mohd Faizal Awang didakwa membunuh Nasir Md Nayan pada 31 Okt lalu.

Tertuduh Mohd Faizal Awang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jitra atas pertuduhan membunuh abang iparnya dengan cara menetak mangsa bulan lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jitra hari ini atas pertuduhan membunuh abang iparnya dengan cara menetak mangsa bulan lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Faizal Awang, 38, bagaimanapun hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Syaliati Mohd Sobri, menurut Berita Harian.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa membunuh Nasir Md Nayan, 45, di kawasan bendang Kampung Pida 3, Tunjang, pada 6.30 petang hingga 7 malam, 31 Okt lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara maksimum 40 tahun serta 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nasruna Anhar Nordien mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan tarikh 12 Jan depan untuk sebutan semula kes dan proses serahan dokumen.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki maut ditetak adik iparnya sehingga putus kepala di kawasan sawah Kampung Pida 3, Jerlun.

Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan diselaputi lumpur dengan kepala terpisah daripada badan yang ditemui pada jarak kira-kira 1m dari badan mangsa.

Suspek yang ketika itu berada dalam rumahnya yang terletak kira-kira 30m dari lokasi ditahan polis selepas dipujuk hampir 15 minit dalam keadaan masih memegang parang.

Ujian air kencing yang dilakukan ke atas suspek didapati negatif dadah dan keluarga memaklumkan lelaki terbabit mengalami gangguan jiwa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.